Categories: Berita Hiburan

T-Rex Kembali Menyala! Suara Rock Yang Tidak Pernah Padam – “Ia Tentang Bangkit Semula…”

Share

Siapa yang tidak mengenali Terence Law atau nama komersialnya, T-Rex Kamikaze (T-Rex), satu nama yang cukup sinonim dengan kehebatannya menyanyikan lagu-lagu rock bersama kumpulan Kamikaze menerusi karya ikonik seperti Luhur, Tawa Dalam Tangisan, Pergi Selamanya dan banyak lagi.

Mempunyai kelompok peminat tersendiri terutamanya penggemar muzik rock, tidak dinafikan penghayatan T-Rex dalam nyanyiannya sangat hebat walaupun bukan berbangsa Melayu dan dianggap sebagai sesuatu yang membanggakan dalam landskap muzik tempatan.

Kini, selepas lama mendiamkan diri dan melalui episod panjang tanpa album, bekas vokalis Kamikaze ini tampil dengan buah tangan terbaharu berjudul

“T-REX KEMBALI MENYALA”, sekali gus menandakan kepulangannya secara rasmi ke persada muzik tanah air.

EP Sarat Emosi, Kebangkitan Diri

EP ini mempertaruhkan single utama berjudul Revive yang membawa pengertian tersendiri, manakala “T-REX KEMBALI MENYALA” pula menjadi tafsiran kepada ketahanan diri, kebangkitan semula dan kesinambungan seni T-Rex sebagai seorang pengkarya.

Secara keseluruhan, EP ini merakam perjalanan peribadi serta refleksi T-Rex melalui muzik rock yang jujur dan beremosi. Ia menampilkan lima buah lagu yang menggambarkan fasa perjalanan seni dan kehidupan T-Rex.

Single utama “Revive” mencerminkan semangat teras EP ini iaitu mentah, berlandaskan realiti dan tanpa kompromi. Lagu ini melambangkan kepulangan T-Rex, bukan sebagai satu penjenamaan semula, tetapi sebagai kesinambungan suara yang tidak pernah benar-benar hilang.

“EP ini bukan tentang mengejar trend atau membuktikan sesuatu. Ia tentang bangkit semula dan membiarkan muzik berbicara dengan cara tersendiri.

“Peminat perlu menikmati lagu-lagu ini untuk mendalami dan mentafsir apa yang ingin disampaikan,” katanya.

Legasi Rock Yang Terus Dikenang

Walaupun muzik video rasmi masih dalam peringkat persiapan, para pendengar kini boleh menikmati karya-karya dalam EP ini melalui pelancaran digital, dengan kandungan visual tambahan bakal diumumkan dalam masa terdekat.

“T-REX KEMBALI MENYALA” kini boleh ditonton di YouTube, manakala Spotify dan Apple Music akan menyusul di platform digital tidak lama lagi.

Mengimbas kembali pembabitannya bersama Kamikaze, kumpulan itu pernah mencipta populariti besar dan mendapat sambutan meluas, sekali gus kekal diingati dalam kalangan peminat muzik rock tempatan sehingga ke hari ini.

Sebagai antara figura awal yang aktif dalam arena muzik rock Malaysia, T-Rex telah lama berkecimpung dalam kedua-dua arus perdana dan muzik independen. Persembahan bertenaga serta penulisan lagu yang berteraskan emosi nyata telah membina kelompok peminat setia sepanjang kerjayanya.

Pada tahun 2001, Kamikaze menerima Anugerah Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM), sekali gus menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan awal seni T-Rex.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH