
Anak kepada pelakon veteran, Dharma Harun Al-Rashid, Muhammad Al Syafiq Mohamad Azman, 36, menafikan dakwaan kononnya dia menumpang populariti bapanya demi mendapatkan peluang lakonan.
Syafiq menjelaskan, kerjaya seninya sudah bermula lebih awal iaitu sebelum kisah kesempitan hidup keluarganya mendapat perhatian ramai.
Bagaimanapun katanya, mungkin kerana sering membawakan watak tambahan sebelum ini menyebabkan kewujudannya dalam industri kurang disedari.
“Saya harap orang melihat kepada bakat saya dan bukannya siapa saya. Saya tak rasa menumpang nama ayah untuk dapatkan ‘job’.
“Sekiranya saya tak ada bakat, tentunya Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) tak ambil saya sebagai pelajar mereka.
“Tapi disebabkan saya memang boleh berlakon jadi saya diterima. Bukan nak kata saya bagus, saya tahu di luar pun ramai yang jauh lebih berbakat.
“Jadi kalau ada yang kata saya tumpang nama ayah, dekat situ saya rasa macam pelik sikit pasal saya memang belajar cara lakonan yang betul,” katanya.
Syafiq berkata demikian ketika ditemui di set penggambaran telefilem Ayah di Pusat Jagaan Harian Warga Tua, Cheras, pada Isnin.
Namun Syafiq mengakui ekoran kisah bapanya yang tular, namanya turut menjadi perhatian.
“Tapi saya tak boleh nafikan sedikit sebanyak kisah ayah juga menaikkan nama saya.
“Cuma dari sudut lakonan saya sebenarnya dah bermula sejak 17 tahun lalu, di mana saya pernah terbabit dalam muzik video Datuk M Nasir dan juga untuk Bunga Isme.
“Saya juga banyak terbabit dalam drama Kisah Benar dan beberapa drama lain tetapi hanyalah sebagai pelakon tambahan. Jadi itu sebab kenapa saya tak dikenali sebelum ini,” jelasnya lagi.
Dalam masa sama, Syafiq menyifatkan cabaran membawa nama besar seperti bapanya bukanlah sesuatu yang mudah kerana semua pihak meletakkan harapan tinggi terhadapnya.
“Orang ingat macam senang apabila bawa nama bapa, tapi sebenarnya bukan mudah kerana nama Dharma sudah sangat bagus.
“Jadi saya perlu menjaga ‘call time’, tak boleh datang lambat. Saya juga kena pastikan dah hafal skrip sebelum ke set, pendek kata semuanya perlu sempurna,” katanya.
Dia turut berterima kasih kepada penerbit, Datuk A Aida kerana sudi memberinya peluang berlakon di bawah produksinya itu.
Selain Syafiq bapanya, turut sama terlibat di dalam tele-filem ‘Ayah’ ialah Aniq Suhair, Azeva Natassha, Ezzaty Abdullah dan Aisyah Hasna.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini