
Pelakon, Harissa Adlynn terkilan apabila timbul dakwaan yang mengatakan dia mudah rasa tidak selesa bila ada pelakon lelaki yang cuba rapat dan berbuat baik dengan dirinya ketika di set penggambaran.
Menurut Harissa, isu yang dibangkitkan ini adalah fitnah yang sengaja direka untuk mencalarkan nama baiknya sebagai pelakon baharu.
“Saya terkejut bila isu ini timbul. Situasi seperti itu tidak pernah wujud. Saya pun tertanya-tanya, siapakah yang mula reka kisah ini? Saya nak individu tersebut datang jumpa saya dan bagitahu apa yang dia tidak puas hati.
“Hal ini adalah fitnah dan saya bersumpah ia tidak pernah berlaku. Di setiap set penggambaran, saya sentiasa okay dan menjaga hubungan baik dengan rakan pelakon.
“Tak pernah ada cinta lokasi. Jika ada rakan-rakan pelakon yang suka saya, saya tak pernah sampai ke tahap rasa tak selesa.
“Saya okay sahaja kalau nak berkawan. Malah, saya tak pernah minta pihak produksi untuk menepis mana-mana individu yang cuba dekati saya di set penggambaran,” katanya kepada MH.
Harissa berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media drama terbaharu yang berjudul Kerana Seroang Lelaki, baru-baru ini.
Katanya lagi, jika hal seperti ini benar-benar berlaku, dia boleh menyelesaikan sendiri tanpa perlu memperbesarkan sehingga menyusahkan pihak produksi.
“Saya seorang wanita yang kuat. Jika ada pihak yang berkelakuan pelik terhadap saya, saya sendiri akan tepis perkara itu dan maklumkan kepada mereka yang kita perlu jadi profesional.
“Saya boleh sahaja bersemuka dengan individu tersebut. Kalau saya sudah tidak tahan sangat, saya akan maklumkan kepada pengurus saya,” katanya.
Dalam pada itu, Harissa turut menggesa mereka yang terlibat untuk berhenti menyebarkan fitnah dan sebaik membuat permohonan maaf.
“Berhentilah membuat fitnah. Jika berita seperti ini keluar dan ia tak betul, saya agak terkilan. Ia boleh jejaskan nama baik saya.
“Jika ada produksi yang nak tawarkan saya berlakon, mungkin nanti nama saya akan ditolak kerana mereka anggap saya ini susah untuk beri kerjasama.
“Padahal cerita itu tidak betul pun. Sesiapa reka cerita ini, saya harap anda tampil dengan permohonan maaf,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Harissa turut menafikan dakwaan yang mengata dia kini bersikap diva meskipun namanya baru sahaja dikenali.
“Kalau saya diva, ibu akan hempuk saya dulu. Anda sendiri boleh bertanya kepada mana-mana rakan pelakon yang pernah bekerjasama dengan saya, pasti mereka akan kata saya ini mudah untuk bekerjasama.
“Saya pun tak pasti nama saya jadi perhatian disebabkan pelbagai isu. Saya tak buat apa-apa pun. Hidup saya sangat tenang. Saya tak suka cipta sebarang isu,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini