Categories: Hiburan

Sudah 14 Tahun Perkenalan, Sophia Albarakbah Tak Tolak Andai Ada Jodoh Dengan Sahabat Sendiri

Share

Pelakon jelita, Sophia Albarakbah tampil menjelaskan mengenai kehadiran seorang lelaki yang dilihat bersama keluarganya di majlis tayangan perdana filem seram terbaharu, Tembuni Berdarah, malam tadi.

Menurut Sophia, lelaki berkenaan hanyalah sahabat baiknya dan mereka sudah berkenalan sejak lebih 14 tahun lalu.

“Itu bukan teman lelaki. Yang datang itu hanyalah kawan baik. Kami sudah kenal lebih 14 tahun sejak di universiti lagi.

“Dia memang rapat dengan keluarga saya. Sebab itu dia ikut sekali ke majlis tayangan perdana ini,” katanya ketika ditemui di majlis Tayangan Perdana Filem Tembuni Bsrdarah di GSC, MyTown, Cheras pada Rabu.

Naskhah tersebut bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 25 September ini.

Filem arahan Dr. Ahmad Idham ini turut dibintangi Niezam Zaidi, Khatijah Tan, Sharifah Shahora, Riezman Khuzaimi dan Mia Nasir.

Dalam pada itu, Sophia turut memaklumkan dia tidak menolak sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan sahabat baiknya itu.

“Ketika ini, kami berkawan dahulu. Dia sentiasa ada dan tidak pernah meninggalkan saya. Bercakap soal status, saya tak boleh nak ulas lebih. Kita tengoklah macam mana keadaannya nanti.

“Buat masa sekarang, kami tidak mahu meletakkan sebarang label lagi untuk hubungan ini. Kami selesa berkawan. Kalau ada jodoh, kita terima.

“Ketika ini, dialah lelaki yang paling rapat dengan saya,” ujarnya lagi.

Fokus Kerjaya, Bukan Hubungan

Sophia menambah, sahabat baiknya itu sentiasa menyokong perjalanan kerjayanya sepanjang bergelar anak seni.

“Sejak dahulu lagi, dia sentiasa menyokong kerjaya saya. Mungkin orang lain baru perasan hari ini.

Malah, keluarga dan sahabat terdekat pun memang akan datang ke majlis tayangan perdana dan tonton filem saya.

“Hal ini bukan baharu,” kongsinya yang turut menegaskan, fokus utamanya kini adalah pada kerjaya.

“Keluarga saya memang sudah restu perkenalan kami sejak dahulu lagi. Namun, ketika ini, fokus saya adalah untuk menghasilkan karya-karya yang disukai ramai.

“Saya nak orang lebih melihat bakat saya. Soal berkahwin, saya belum befikir ke tahap itu lagi. Kalau sudah ada jodoh, saya go with the flow sahaja,” akhirinya.

Sophia sebelum ini pernah menjalinkan hubungan cinta dengan seorang doktor yang dikenali sebagai Mr. Doktor pada Mac 2023.

Namun, hubungan itu dikatakan berakhir pada penghujung tahun sama selepas dia beberapa kali berkongsi hantaran patah hati di media sosial.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf