
Bintang pop antarabangsa, Stacie Orrico, telah memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Los Angeles terhadap bekas pengurusnya serta beberapa syarikat rakaman.
Tuntuntan ini selari dengan dakwaannya bawa beliau telah menjadi mangsa gangguan dan serangan seksual sejak usia remaja ketika berada di bawah pengurusan industri muzik.
Dalam tuntutan tersebut, Stacie menamakan Britt Ham, bekas pengurus yang menguruskan kerjayanya sejak awal, selain Universal Music Group, ForeFront Records dan beberapa entiti lain sebagai defendan.
Menurut dokumen mahkamah, Stacie mendakwa perbuatan tidak bermoral itu bermula ketika beliau berusia sekitar 14 tahun dan berterusan sepanjang tempoh beliau aktif sebagai artis remaja yang berada di bawah naungan industri muzik Kristian.
Tuntutan itu merangkumi beberapa pertuduhan termasuk penderaan seksual terhadap kanak-kanak, serangan seksual, keganasan berasaskan jantina dan kecuaian.
Stacie mendakwa pihak pengurusan dan label rakaman mengetahui atau sepatutnya menyedari perbuatan tersebut, namun gagal mengambil sebarang tindakan untuk melindunginya.
Sebaliknya, pihak industri didakwa lebih mengutamakan imej, reputasi dan keuntungan komersial, sekali gus membiarkan beliau terus berada dalam situasi yang berbahaya dan menindas sebagai seorang artis muda.
Wanita berusia 40 tahun ini yang pernah mencipta kejayaan antarabangsa menerusi lagu popular seperti Stuck
dan (There’s Gotta Be) More to Life turut mendakwa pengalaman traumatik itu bukan sahaja menjejaskan perkembangan kerjayanya, malah meninggalkan kesan mendalam terhadap kesihatan mentalnyaDalam kenyataan yang dikemukakan bersama tuntutan, beliau berkata mengambil masa bertahun-tahun untuk berani bersuara dan mengambil tindakan undang-undang.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah itu dibuat demi menuntut keadilan dan tanggungjawab serta memberi kekuatan kepada mangsa lain yang mungkin pernah melalui pengalaman sama dalam industri hiburan.
Walau bagaimanapun jumlah tuntutan ganti rugi tidak dinyatakan dan memohon kes tersebut dibicarakan di hadapan juri.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan