Berita

Srikandi Melayu Mengisi Panggung Bangsawan, Pengarah Optimis – “Penonton Akan Tahu Di Mana Kubur Tun Fatimah Pada Hujung Persembahan.”

Share

Sebuah karya epik yang membangkitkan semangat perjuangan wanita Melayu, Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka, bakal dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka dari 13 hingga 15 Jun depan, jam 8.45 malam.

Pementasan ini bukan sekadar persembahan seni, tetapi menjadi simbol usaha memperkasa warisan budaya, mengangkat sejarah bangsa serta memupuk jati diri melalui teater berfakta.

Karya ini mengetengahkan kisah benar sejarah Kesultanan Melayu Melaka melalui tokoh wanita agung, Tun Fatimah, yang berdepan pengkhianatan, kehilangan, dan dilema antara cinta serta tanggungjawab.

Dalam menghadapi segala dugaan, beliau muncul sebagai lambang kekuatan wanita Melayu yang mempertahankan maruah bangsa dengan keberanian luar biasa.

Skrip Dipadatkan, Kisah Diperkasa

Pengarah teater, Lokman Ghani, memaklumkan bahawa skrip teater ini telah disusun semula agar lebih padat dan tersusun.

Pementasan juga diselitkan dengan waktu rehat selepas babak dramatik kematian Dato’ Bendahara bagi memberi ruang penonton menghayati perjalanan kisah sebelum memasuki babak baharu.

“Selalu persembahan akan bersambung sampai habis. Tetapi selepas babak Dato’ Bendahara dihukum bunuh, saya bagi rehat di tengah-tengah agar penonton dapat hadam dan rehat sebelum masuk ke babak baru iaitu perkahwinan antara Tun Fatimah dan Sultan Melaka.

“Penonton tidak rehat saja-saja, tetapi saya isi dengan dua persembahan nyanyian Dato’ Jalaludin dan Puja,” katanya.

Menurut Lokman lagi, teater ini bukan sekadar hiburan, malah menjadi medium pendidikan budaya dan sejarah.

“Objektif pementasan ini adalah bagi menghidupkan kembali sejarah bangsa dan saya mahu fahamkan pada orang ramai ini bukan mitos tetapi kisah benar dan berfakta.

“Malah penonton akan tahu di mana kubur Tun Fatimah yang sebenar pada penghujung persembahan,” katanya lagi.

Pementasan ini dibarisi pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Neera Azizi, Aziz M. Osman, Radhi Khalid dan Al Jufferi Jamari.

Naskhah ini diterbitkan oleh Boolan Trending bersama Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM), dengan sokongan Kerajaan Negeri Melaka, JKKN Melaka dan MOTAC.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

@mediahiburanofficial Hitung hari bergelar isteri, ini penampilan pelakon Neera Azizi menerusi pementasan epik; Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka. Selain Neera, ia turut dibarisi pelakon hebat seperti Ashraf Muslim, Aziz M. Osman, Radhi Khalid dan Al Jufferi Jamari. Naskhah ini diterbitkan oleh Boolan Trending bersama Pertubuhan Teater Melaka (PERTEM), dengan sokongan Kerajaan Negeri Melaka, JKKN Melaka dan MOTAC. Tun Fatimah: Srikandi Empayar Melaka dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka dari 13 hingga 15 Jun depan, jam 8.45 malam. #MHnews
#MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan
Published by
MH