
Pelakon Sophia Albarakbah bakal bertemu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) minggu hadapan susulan laporan polis yang dibuatnya berhubung kes buli siber dan gangguan seksual, baru-baru ini.
Menurut Sophia, dia tidak dapat mengulas lanjut mengenai laporan tersebut kerana siasatan masih berjalan.
“Selepas saya membuat laporan polis, kini saya sedang menantikan jawapan daripada pihak SKMM.
“Jika ada perkembangan selanjutnya, saya akan maklumkan kepada pihak media. Berkemungkinan saya akan ke pejabat SKMM pada minggu hadapan,” katanya kepada MH.
Sophia berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media pelantikan duta baharu Amber di Shangri-La, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Pelakon filem Saka Perawan itu berharap kes yang dihadapinya menjadi pengajaran, terutama buat rakan artis yang sekian lama menjadi mangsa buli.
“Ketika ini, saya berasa agak lega. Saya buat laporan polis bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga buat semua orang yang melalui situasi sama, terutamanya rakan-rakan artis yang kerap menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual.
“Selain itu, saya juga mahu lantang bersuara dalam hal seperti ini. Ada segelintir pihak yang tidak berani nak melawan atau malas nak memperbesarkan isu ini.
“Pada saya, buli siber dan gangguan seksual ini tidak patut dinormalisasikan. Ada yang kata, ini lumrah kehidupan selebriti. Mereka salah.
“Segala bentuk buli adalah tidak normal dan tak patut ambil ringan. Lihat sahaja negara Korea Selatan, kes bunuh diri disebabkan menjadi mangsa buli sangat tinggi,” katanya lagi.
Ditanya sama ada dia telah menerima permohonan maaf daripada mana-mana pihak, Sophia mengakui belum mempunyai kekuatan untuk membuka mesej di media sosial.
“Kejadian buli siber ini memang memberi kesan dari segi emosi dan mental sehingga saya jadi takut nak buka mana-mana platform media sosial.
“Mungkin ada yang sudah DM untuk memohon maaf. Namun ketika ini, saya belum baca apa-apa lagi hal seperti itu dan serahkan segalanya kepada peguam,” katanya.
Sophia turut terharu dengan sokongan yang diterima daripada orang ramai dan rakan artis.
“Alhamdulillah, saya ada keluarga dan peminat yang baik. Malah, saya juga terharu dengan sokongan yang diberikan oleh orang ramai. Ada juga yang memberikan komen-komen positif dan kata-kata yang baik.
“Ada juga rakan-rakan artis yang mesej dan berikan kata-kata semangat. Mereka juga faham apa yang saya lalui.
“Dulu mereka ingat tiada siapa yang akan bersuara untuk isu seperti ini. Kini, mereka tahu ada yang berani melawan,” katanya.
Jumaat lalu, Sophia membuat laporan polis selepas didakwa menjadi mangsa buli siber dan gangguan seksual di media sosial.
Menurut peguamnya, Aizat Azam, komen yang diterima bukan sahaja berunsur penghinaan, malah mengandungi ugutan seksual secara terbuka terhadap anak guamnya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini