Categories: Hiburan

Sophia Albarakbah Menitiskan Air Mata, Buat Laporon Polis Sebab Jadi Mangsa Buli Siber & Gangguan Seksual

Share

Pelakon, Sophia Albarakbah tidak dapat menahan sebak sebaik sahaja selesai membuat laporan polis di Balai Polis Travers berhubung isu buli siber dan gangguan seksual yang diterimanya, baru-baru ini.

Menurut Sophia, dia menyerahkan persoalan kepada peguam untuk menjawab bagi pihak dirinya.

“Kepada rakan media, saya minta maaf. Saya serahkan segalanya kepada peguam untuk menjawab segala persoalan,” katanya kepada MH.

Sementara itu, peguam yang mewakili Sophia, Aizat Izuan Shakeel dari Tetuan Aizat Izuan Shakeel memaklumkan laporan polis telah dibuat selepas pelakon tersebut menjadi mangsa buli dan gangguan seksual daripada netizen.

Menurut Aizat, tindakan buli dan gangguan seksual ini dikatakan bermula selapas nama Sophia diumumkan sebagai pemenang untuk salah sebuah program anugerah televisyen, baru-baru ini.

“Satu laporan polis telah dibuat pada hari ini berhubung siri serangan digital yang melampau, merangkumi kecaman berunsur lucah, penghinaan, ugutan, serta gangguan seksual secara terbuka terhadap anak guam kami.

“Insiden ini tercetus selepas beliau diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat dalam program Anugerah Melodi 2025 yang disiarkan secara langsung pada 3 Ogos lalu.

“Sejak itu, anak guam kami menjadi mangsa kepada tuduhan liar dan fitnah terbuka, kononnya beliau ‘berdrama’ demi publisiti murahan

“Malah, Sophia juga turut menerima komen lucah dan menjijikkan yang bukan sahaja merendahkan martabat beliau sebagai wanita tetapi juga menormalisasi budaya gangguan seksual dalam talian serta penyebaran video parodi dan gambar dimanipulasi dengan niat untuk memperlekeh dan menjatuhkan maruah beliau secara awam,” katanya kepada MH.

Disebabkan insiden ini, Aizat memaklumkan Sophia turut terkesan dari segi mental disebab kecaman yang melampau.

“Akibat daripada perlakuan buli siber yang dinyatakan di atas, anak guam kami telah mengalami tekanan emosi yang serius, keresahan berpanjangan, serta gangguan terhadap kesihatan mental dan fokus dalam kerjaya lakonan beliau.

“Perbuatan ini bukan sahaja kejam dan tidak berperikemanusiaan, malah merupakan pelanggaran undang-undang sebagaimana diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi Multimedia 1998,” kongsinya lagi.

“Kami menyeru pihak berkuasa terutama Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengambil tindakan segera dan tegas terhadap pihak-pihak yang dikenal pasti, termasuk akaun media sosial yang terlibat.

“Kami juga sedang meneliti tindakan sivil yang boleh diambil, termasuk saman malu dan injunksi terhadap pelaku dan platform.

“Ini bukan sekadar hiburan. Ini soal maruah,” akhirinya.

Terdahulu, nama Sophia kembali menjadi perhatian selepas namanya diumumkan sebagai pemenang kategori Selebriti Feminin Terhangat di Anugerah Melodi Terhangat, baru-baru ini.

Lebih membuatkan keadaan menjadi janggal apabila anugerah tersebut disampaikan oleh penyanyi dan pelakon, Bella Astillah yang sebelum ini pernah mendakwa Sophia sebagai punca keretakkan rumah tangganya bersama Aliff Aziz.

Disebabkan insiden tersebut, Sophia dikecam hebat netizen kerana didakwa sengaja ingin mencari populariti murahan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf