Categories: Berita Hiburan

Siti Nurhaliza Dedah Hal Menimpa Amad Dayyan – “Bagi Sesiapa Yang Berada Di Lokasi Semalam, Pasti Tahu Apa Yang Berlaku…”

Share

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkongsi video yang memperlihatkan anak saudaranya yang juga penyanyi, Amad Dayyan, dalam keadaan sihat dan bertenaga ketika sesi latihan bersama rakan duetnya, Nadeera Zaini.

Namun, keadaan Amad difahamkan berubah secara drastik sebaik sahaja sebelum memulakan persembahan di konsert Grand Finale Talk To My Manager (TTMM) semalam.

Siti memberi bayangan, apa yang berlaku seolah-olah bukan berpunca daripada faktor kesihatan semata-mata, sebaliknya sesuatu yang sukar dijelaskan dengan logik akal.

“Sesi latihan Amad Dayyan bersama Nadeera. Kondisi Amad dalam keadaan baik, sihat dan fit untuk persembahan. Namun takdir berkata lain pada hari persembahan Grand Finale.

“Sebagai ahli keluarga, kami mengetahui apa yang berlaku, bukan faktor kesihatan, kesan dari komen-komen atau penat tetapi sebagai manusia biasa, kita percaya dalam kehidupan kita, ada hal-hal luar dugaan dan hal-hal tak masuk di akal tetapi itulah hakikatnya,” tulisnya di Instagram pada petang Isnin.

Mohon Doa, Ruang Buat Amad

Siti turut memohon agar semua pihak memberi ruang kepada Amad dan mendoakan yang terbaik.

“Bagi sesiapa yang berada di lokasi semalam, pasti tahu apa yang berlaku, untuk bersikap adil kepada Amad, janganlah ada pelbagai persepsi kerana mereka yang melihat kejadian sahaja yang tahu.

“Begitulah, setiap kita ada cabaran, inikan pula dalam bidang ini. Segalanya terbuka luas. Malah malam tadi bukan Amad sahaja yang terkena tetapi adik Amad, Aisy juga terkena tempiasnya.

“Doakan agar kita semua dilindungi-Nya selalu. Doakan Amad juga,” kongsinya lagi.

Difahamkan, Amad yang juga finalis TTMM dilaporkan rebah beberapa minit sebelum persembahan bermula, namun tetap bersemangat mahu meneruskan nyanyiannya walau dalam keadaan kurang sihat.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Sumber & Kredit Foto: Instagram Siti Nurhaliza

Published by
Aizam Manaf