
Penyanyi Shila Amzah yang kini semakin aktif membuat persembahan di pentas antarabangsa, khususnya di China, memilih untuk tidak mengesahkan mahupun menafikan dakwaan kononnya kadar bayarannya dilakukan dalam mata wang dollar.
Malah dia juga mempunyai jawapan sendiri apabila bercakap mengenai isu bayaran yang diterimanya, sama ada tinggi atau sebaliknya.
Jelas Shila, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, 35, setiap individu berhak meletakkan nilai terhadap diri masing-masing.
Namun, perlu ditekankan bahawa segala kejayaan yang dikecap tidak datang tanpa usaha.
“Saya hanya mampu ucap alhamdulillah, semua ini adalah rezeki. Saya percaya usaha keras dan kejayaan itu tidak pernah mengkhianati hasil.
“Daripada segi mahal atau tidak, terpulang kepada individu yang menilai, saya tahu nilai saya. Bergantung kepada hak masing-masing.
“Berkaitan dibayar dalam mata wang dollar, apa yang saya boleh katakan di Malaysia saya terima bayaran dalam wang ringgit.
“Jika di negara lain, mengikut mata wang negara tersebut,” katanya secara seloroh.,
Shila berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Raise The Star di Petaling Jaya, pada Khamis.
“Lebih Dihargai Di Mana-Mana Bukan Isu”
Dalam pada itu, Shila turut mengulas kenyataan segelintir netizen yang mendakwa bakatnya lebih dihargai di China berbanding di tanah air sendiri.
Bagi penyanyi lagu Patah Seribu ini, perkara tersebut tidak dianggap sebagai isu besar, sebaliknya dia menzahirkan rasa syukur atas sokongan berterusan daripada peminat.
“Bercakap fasal dihargai, ketika saya baca komen di media sosial, ramai yang hargai saya. Alhamdulillah, baik di negara sendiri mahupun negara luar.
“Saya juga gembira lihat apabila ramai berkongsi semula video persembahan saya di luar negara dan itu membuatkan saya lebih semangat untuk terus berkarya.
“Lebih dihargai di mana-mana itu bukan satu isu. Saya gembira apabila orang lihat bakat dan apa yang saya sudah usahakan,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, Shila bakal muncul sebagai juri untuk program hiburan realiti terbaharu, Raise The Star.
Ia akan mula bersiaran pada 22 Jun depan di Astro Ria dan selain Shila, tiga barisan juri lain termasuk Ajai, Audi Mok, Ikhwan Fatanna dan Aina Abdul.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini