
Penyanyi Shiha Zikir, tidak dapat menahan rasa sebak ketika menyampaikan lagu baharunya, Renjana secara langsung dalam program MeleTOP baru-baru ini.
Lagu yang cukup peribadi dan emosional itu didedikasikan khas buat arwah bapanya, menjadikan persembahan tersebut penuh dengan emosi dan Shiha dilihat turut menitiskan air mata di belakang pentas program berkenaan.
Menerusi satu hantaran di Thread, Shiha memohon maaf kepada peminat kerana tidak dapat menyampaikan lagu Renjana dengan sepenuh kemampuan ketika bersiaran langsung.
“Maaf saya tak dapat nak nyanyi dengan baik kat MeleTOP tadi. Tak dapat nak tipu feel yang saya rasa time tu.. siapa tengok tadi?” tulisnya.
Renjana merupakan lagu yang mencerminkan kasih dan rindu mendalam Shiha terhadap arwah bapanya, Allahyarham Mohd Zikir Abdul Hamid.
Lagu ini turut ditulis oleh Shiha bersama Zimi Sofazr, dan menurutnya, banyak kenangan peribadi tersemat dalam bait lagu tersebut.
Malah video muzik Renjana juga turut memaparkan momen-momen sebenar bersama arwah bapanya, termasuk saat memancing dan perjalanan mereka ke Kuala Lumpur untuk sesi uji bakat.
Shiha menyatakan, segala pencapaian seninya termasuk selepas menyertai Mentor, adalah didedikasikan sepenuhnya buat arwah ayahnya.
Dalam suasana penuh emosi di MeleTOP, Shiha juga turut mengumumkan satu kejutan buat peminat berupa cabutan bertuah berjumlah RM10,000 sempena lagu Renjana.
“Cara untuk menyertai sangat mudah, di mana peserta hanya perlu memuat naik apa sahaja kandungan menggunakan lagu Renjana dan pastikan hashtag #renjana, #renjanashihazikir dan #renjana10K digunakan dalam setiap perkongsian,” umum Shiha.
Menurut Shiha, semakin banyak video yang dimuat naik, semakin besar peluang untuk memenangi hadiah wang tunai tersebut.
“Saya akan umumkan pemenang pada awal September nanti jika muzik video Renjana telah mencecah 1 juta tontonan.
“Tapi kalau sampai 1 juta views lebih awal, kita akan terus lakukan cabutan bertuah,” tambahnya lagi.
Inisiatif ini bukan sahaja menghidupkan kempen lagu Renjana, tetapi sudahb pasti ia juga membuka ruang buat peminat menjadi sebahagian daripada perjalanan emosional Shiha.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini