Categories: Berita Hiburan

Shaheizy Sam Anggap Bung Moktar Abang Ipar Sempurna, Lemah Lembut & Tak Pernah Naik Suara

Share

Pelakon Shaheizy Sam mengakui terkejut apabila menerima khabar mengenai keadaan kesihatan abang iparnya, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, dilaporkan semakin kritikal sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi.

Memetik video Bernama, Sam memaklumkan abang iparnya itu memang kurang sihat sejak kebelakangan ini dan sering kelihatan penat.

“Arwah memang nampak tidak seperti dahulu lagi. Dia seperti tiada tenaga dan selalu nampak penat.

“Keadaan arwah semalam memang sangat mengejutkan dan agak teruk,” katanya.

Sifat Sebenar Di Rumah & Sebagai Pemimpin

Berkongsi tentang keperibadian Allahyarham, Sam menyifatkan Bung Moktar sebagai seorang yang sangat berbeza ketika di rumah berbanding penampilannya di parlimen.

“Apa yang kita nampak di parlimen, itu bukanlah dirinya yang sebenar. Sebagaimana kita lihat dia aggresif di parlimen, jika di rumah, dia seorang yang sangat berbeza.

“Selama berbelas tahun ini, nak dengar dia tinggi suara atau marah, memang tak pernah. Di rumah, dia seorang yang sangat lembut terutama bila bersama anak-anak,” kongsinya lagi.

Pelakon Polis Evo itu turut menggambarkan Allahyarham sebagai abang ipar sempurna dan pemimpin yang sentiasa utamakan rakyat.

“Jika bertanya kepada saya, dia seorang abang ipar yang sempurna. Jika orang yang biasa lihat dia di parlimen, persepsi mereka mungkin berbeza.

“Bila setiap kali saya ikut dia balik kawasan, memang akan ada rakyat-rakyat yang betul-betul nak berjumpa. Dia tak pernah cakap tak boleh.

“Kalau sampai pukul empat pagi pun nak jumpa orang-orang di kawasan, dia tetap akan luangkan masa,” katanya lagi.

Allahyarham Bung Moktar meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah pada 1.46 pagi tadi, dan pemergiannya disahkan oleh anaknya, Naim Kurniawan Moktar.

Jenazah kemudian dibawa ke rumahnya di Luyang sebelum disolatkan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas selepas solat Jumaat.

Untuk rekod, Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama kakak kepada Sam, iaitu pelakon Datin Seri Zizie Ezette, pada tahun 2009.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Bernama & Shaheizy Sam

Published by
Aizam Manaf