Categories: Berita Hiburan

“Seram Sejuk Pertama Kali Ke Studio Di Singapura Masa Itu,” – Erra Fazira Hidupkan ‘Cinta Abadi’ Selepas 32 Tahun, Sempena Detik Istimewa Jumaat Ini

Share

Penyanyi dan pelakon, Erra Fazira kembali memeriahkan industri muzik dengan merakamkan semula lagu epik klasik nyanyiannya, Cinta Abadi yang pernah diterbitkan pada tahun 1993.

Lagu nukilan Razman dengan sentuhan lirik Habshah Hassan ini diangkat dalam versi baru bagi meraikan hari istimewa primadona negara itu Jumaat ini.

Dalam versi 2025, Cinta Abadi mendapat suntikan muzik moden dan bukan hanya tampil dalam satu versi, sebaliknya turut hadir dalam versi piano yang memberikan sentuhan emosi berbeza untuk para pendengar khususnya peminat Erra Fazira.

Idea merakamkan kembali Cinta Abadi ini datang daripada pihak pengurusan Erra sendiri iaitu MindOrder Sdn Bhd, yang melihat ia sebagai buah tangan istimewa buat peminat setia yang sudah lama menunggu single terbaharu daripadanya.

Erra Fazira menyifatkan Cinta Abadi sebagai sebuah lagu yang cukup istimewa dan mengukir namanya sebagai penyanyi di Malaysia.

Tidak sekadar melodinya yang romantik dan bersesuaian dengan karakter vokalnya, Cinta Abadi menjadi titik permulaan yang memperkenalkan namanya kepada umum.

“Sudah 32 tahun usia lagu ini. Siapa sangka, ia sudah berlalu lebih tiga dekad namun setiap saat dan momen ketika merakamkan lagu ini masih saya ingat dengan terperinci.

“Rasa seram sejuk ketika pertama kali ke studio rakaman di Singapura masa itu. Saya masih berusia 19 tahun dan sangat gugup.

“Istimewanya, lagu ini telah memperkenalkan nama saya dan melonjakkan jenama Erra Fazira itu sebagai seorang penyanyi.

“Banyak undangan nyanyian yang datang hanya kerana lagu ini menjadi fenomena di kalangan pendengar tempatan,” katanya.

Figura yang sinonim menerusi filem Sembilu dan Maria-Mariana ini juga menyifatkan lagu tersebut sebagai hadiah buat peminat tersayang.

“Justeru ketika pihak MindOrder Sdn Bhd mengusulkan idea untuk merakamkan semula lagu ini, saya tidak berfikir panjang.

“Sebab menyedari ada peminat yang sebenarnya menyukai lagu ini dan sudah tentu versi terbaru sekurang-kuranya dapat mengubati rindu mereka kepada nyanyian saya hari ini dalam sebuah melodi klasik yang pernah menjadi kegemaran mereka dulu,” katanya lagi.

 

Sentuhan Visual Baharu

Tidak sekadar merakamkan versi terbaru, Cinta Abadi 2025 turut menjalani penggambaran video muzik bagi menambahkan elemen visual yang indah dan selari dengan keindahan lagunya.

Video muzik ini juga menjadi sebahagian daripada pelan pemasaran untuk memperkenalkan lagu tersebut kepada pendengar generasi kini.

Penggambaran dilakukan di sekitar Hotel Royal Chulan Cherating Villa & Chalet dan mendapat tajaan sepenuhnya daripada Pos Malaysia.

Tambah Erra Fazira, keseluruhan video muzik ini memberikan satu perasaan yang sangat indah dan romantik dengan pemandangan pantai di waktu senja yang menzahirkan ‘mood’ tersendiri buat peminat yang akan menontonnya nanti.

“Lebih melengkapkan jalan ceritanya apabila penyanyi Naqiu turut tampil bersama dalam video muzik ini. Saya seronok dan yakin peminat akan menghargai apa yang cuba saya sampaikan,” katanya.

‘Cinta Abadi 2025’ dan Versi Piano boleh didengarkan di semua platform digital sejak 28 November lalu.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH