Categories: Hiburan

“Semoga Ibu Diberi Peluang Untuk Terus Bersama Keluarga,” – Masih Lagi Di ICU, Azeva Natassha Pohon Doakan A. Aida

Share

Anak kepada penerbit terkenal, Datuk A. Aida yang juga pelakon baharu, Azeva Natassha memohon jasa baik semua untuk terus mendoakan kesembuhan ibunya yang kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah pusat perubatan di ibu kota.

Menerusi hantaran di Instagram pada Sabtu, Azeva berharap agar ibunya diberikan kekuatan untuk melawan ujian sakit yang sedang dialaminya ketika ini.

“Dengan penuh rasa dukacita dan rendah hati, saya ingin memohon jasa baik semua untuk mendoakan ibu saya, Zaidah Binti Awang, yang kini berada di ICU.

“Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat-Nya, mengurniakan kesembuhan yang segera, menghapuskan segala sakit dan penderitaan.
“Memberikan kekuatan kepada beliau untuk kembali sihat,” tulisnya.

Dalam hantaran sama, Azeva turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menitipkan doa buat ibunya.

“Semoga doa kita semua diperkenankan oleh-Nya, dan ibu saya diberi peluang untuk terus bersama keluarga yang amat menyayanginya. Aamiin ya Rabbal ‘alamin,” kongsinya lagi.

Keadaan Terkini A. Aida

Media sebelum ini melaporkan, A. Aida yang baru sahaja menjalani pembedahan lutut pada Selasa lalu dilaporkan rebah selepas menjalani sesi fisioterapi, sebelum terpaksa ditidurkan.

Perkara itu turut disahkan oleh sahabat baiknya yang juga pendakwah terkenal, Profesor Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim.

Sementara itu, bekas suami kepada A. Aida, Ameng Spring, pula memaklumkan penerbit drama Halimah Jongang itu berkemungkinan diserang penyakit jantung akibat pendarahan beku di jantung dan paru-paru.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Kredit Foto: Instagram Azeva Natassha

Published by
Aizam Manaf