Categories: Berita Hiburan

“Sementara Masih Larat, Doktor Izinkan Tapi…,” – Elaine Kang Bersebab Tak Jadi Tarik Diri GV12

Share

Penyanyi legenda, Dato’ Elaine Kang tetap nekad untuk meneruskan perjuangan di pentas Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) meskipun pernah meluahkan hasrat mahu menarik diri sebelum ini akibat masalah kesihatan.

Jelasnya, keputusan ini dibuat kerana tidak mahu menghampakan peminat yang sudah lama merindui kelibatnya di pentas besar.

“Saya buat keputusan untuk terus bertanding di GV12. Ya, saya degil. Namun, saya tetap kena dengar nasihat doktor dan perlu jujur tentang keadaan kesihatan saya.

“Oleh kerana peminat dan rakan-rakan media sayangkan saya, apa yang saya boleh bagi semula adalah dengan perdengarkan suara dan tampilkan persembahan terbaik. Itu yang paling utama sekali.

“Saya kena jaga kesihatan agar peminat boleh lihat saya lagi walaupun umur saya sudah 68 tahun. Jika ada rezeki, mereka boleh lihat sehingga bawah mata saya berkedut dan rambut memutih,” katanya kepada MH.

Elaine ditemui selepas berakhirnya konsert minggu ketiga GV12 di Auditorium MBSA, Shah Alam, Ahad lalu.

Tambahnya lagi, pihak doktor sentiasa bersiap sedia memantau tahap kesihatannya sepanjang penglibatan dalam program tersebut.

“Saya harap tahap kesihatan saya akan terus berada dalam keadaan baik. Setiap minggu, memang ada doktor yang bersedia dan memantau keadaan saya.

“Sementara masih larat, doktor beri izin saya bertanding lagi. Namun, saya tak boleh terlalu agresif. Kata doktor, dia faham saya ini seorang penghibur dan suka berada di pentas.

“Doktor tak nak menghalang minat saya. Namun, dia akan pantau tahap kesihatan saya menerusi keadaan mata melalui skrin LED.

“Jika mata sama nampak penat, mereka akan berjaga-jaga,” ujarnya lagi.

Ketika ditanya mengenai penyakit sebenar, Elaine memilih untuk tidak berkongsi terlalu banyak kerana enggan membuatkan peminat bimbang.

“Saya memang ada penyakit jantung dan beberapa masalah kesihatan yang lain. Namun, saya tidak mahu dedahkan terlalu banyak kerana saya bimbang peminat akan risau dan sedih dengan keadaan saya.

“Jangan risau. Saya seorang yang bermotivasi tinggi, pejuang dan wanita yang berani,” katanya lagi.

Busana ‘Luar Kotak’ Tarik Perhatian

Dalam pada itu, penyanyi lagu Maafkan Diriku itu turut mengulas mengenai busana unik yang digayakan sepanjang tiga minggu bertanding.

“Peminat sudah lama tidak melihat saya. Rasanya sudah hampir 10 hingga 15 tahun. Lagipun, baju-baju ini bukan baharu. Ia sudah lama tidak dipakai.

“Bila saya pakai busana-busana seperti ini, saya nak peminat ingat persembahan saya. Minggu pertama, orang kata saya macam nak terbang. Minggu kedua, katanya macam bawang pula.

“Malam tadi, saya seperti burung dan gayakan tudung moden,” akhirinya.

Ahad lalu, Elaine mempersembahkan lagu dalam bahasa Kantonis bertajuk Soeng Hoi Tan nyanyian asal Frances Yip.

Konsert minggu ketiga GV12 itu juga menyaksikan tiada penyingkiran dan kesemua 13 peserta bakal berentap dalam cabaran duet minggu hadapan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf