Hiburan

Selepas ‘Drama’ Anak Sulung Putuskan Hubungan, Victoria Beckham Kini Miliki Lagu Nombor Satu Dalam Carta Muzik

Share

Penyanyi dan pereka fesyen terkenal, Victoria Beckham, kembali mencuri perhatian dunia hiburan apabila lagu solonya yang dilancarkan 25 tahun lalu berjaya menduduki tangga nombor satu carta iTunes United Kingdom.

Lagu berjudul Not Such an Innocent Girl yang diterbitkan pada 2001 itu melonjak ke puncak carta selepas peminat melancarkan kempen memuat turun lagu berkenaan sebagai tanda solidariti terhadap Victoria, yang ketika ini berdepan perhatian umum susulan konflik keluarga melibatkan anak sulungnya, Brooklyn Beckham

.

Kempen berkenaan tercetus di media sosial apabila peminat menyuarakan hasrat untuk melihat Victoria akhirnya memiliki lagu solo yang menduduki carta nombor satu, sesuatu yang tidak pernah dicapainya ketika kemuncak karier muziknya dahulu walaupun popular bersama kumpulan ikonik Spice Girls.

Pada awal kemunculannya, Not Such an Innocent Girl hanya mampu mencapai kedudukan keenam Carta Single UK. Namun kebangkitan semula lagu itu pada 2026 membuktikan pengaruh nostalgia serta kekuatan sokongan peminat setia yang masih menghargai sumbangan Victoria dalam industri muzik.

BACA JUGA: “Saya Tidak Mahu…” – Dakwa Ibu Bapa Bermain Naratif, Brooklyn Beckham Putuskan Hubungan Dengan Keluarga

Walaupun kejayaan di iTunes tidak semestinya menjamin kedudukan sama dalam Carta Rasmi UK yang mengambil kira penstriman dan jualan fizikal secara menyeluruh.

Bagaimanapun, pencapaian itu tetap dianggap signifikan dan simbolik, khususnya buat Victoria yang lebih dikenali sebagai usahawan dan pereka fesyen berpengaruh berbanding penyanyi solo.

Fenomena ini sekali gus memperlihatkan bagaimana sentimen awam dan gerakan peminat di era digital mampu mengubah landskap carta muzik, malah menghidupkan semula karya lama untuk kembali mencatat kejayaan baharu.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA