
Selepas tujuh tahun tidak muncul dengan album penuh berbahasa Indonesia, penyanyi tersohor Afgan kembali dengan buah tangan terbaharu berjudul Retrospektif.
Album ketujuh ini menandakan momen penting dalam perjalanan seni dan peribadinya, merangkum refleksi mendalam tentang proses jatuh bangun serta bagaimana beliau menemukan semula suara paling jujur dalam dirinya.
Karya ini juga menjadi simbol kepulangannya ke akar muzik pop Indonesia yang membentuk identiti awalnya sebagai seorang artis.
Menurut Afgan, Retrospektif hadir sebagai ruang renungan peribadi, di mana dia turut menulis dan merakam lagu dengan pendekatan yang lebih intim dan telus.
“Album ini bukan sekadar menoleh ke masa lalu, tetapi menjadi cara memahami perjalanan yang membentuk diri dari aspek kehidupan mahupun pengalaman muzik.
“Selepas bertahun-tahun bereksperimen, saya ingin kembali ke akar yang pernah mendewasakan saya. Tapi kali ini dengan hati yang lebih matang, jujur dan sedia berbagi cerita,” katanya.
Album yang memuatkan sepuluh lagu ini menampilkan elemen pop dan R&B yang menjadi identiti Afgan, namun disampaikan melalui produksi yang lebih organik dan hangat.
Proses pembikinan turut membabitkan barisan komposer terkemuka seperti Petra Sihombing, Muhammad Kamga, Iqbal Siregar, Bilal Indrajaya dan Rendy Pandugo.
Majoriti produksi album diterajui Petra Sihombing, manakala dua lagu lain diterbitkan oleh Gerald Situmorang dan Rendy Pandugo.
Sebagai penerbit, Petra Sihombing menyaksikan sendiri bagaimana Afgan melalui proses pencarian kreatif sepanjang penghasilan album ini.
Menurutnya, Afgan hadir tanpa perancangan besar, namun secara perlahan menemukan arah dan bahasa muzik yang ingin disampaikan.
“Saya menyaksikan seseorang melewati proses pencarian itu adalah perkara yang sangat indah. Tenaga itu yang buat album ini berasa sangat peribadi kerana kita tidak tunggu inspirasi datang, tapi mencarinya bersama,” jelas Petra.
Single pertama berjudul Kacamata juga membuka laluan kepada dunia Retrospektif, dan menerima sambutan hangat dengan mencatat lebih 4 juta penstriman dalam tempoh kurang sebulan.
‘Kacamata’ itu sendiri membawa mesej bahawa mengalah bukan bererti kalah dan ia adalah cara lain untuk mencintai meskipun akhirnya terpaksa melepaskan.
Dalam album ini, Afgan juga berani membuka perjalanan hidupnya dengan kehangatan dan penerimaan.
Lagu Misteri Dunia misalnya, menjadi pembuka bermakna, menggambarkan bahawa luka tidak semestinya menjadi penamat, tetapi pintu menuju cahaya.
Sementara lagu Sebentar pula menyingkap rasa kehilangan dan usaha melepaskan dalam diam, mengakui bahawa takdir tetap berjalan walau sekuat mana kita menggenggamnya.
Silakan turut menyampaikan ketenangan dari keberanian memilih damai, termasuk melepaskan hubungan yang memenatkan.
Sisi paling peribadi Afgan terserlah menerusi Peluk, yang menyentuh paradoks seorang figura yang diraikan, namun sering merasa sendiri.
Lagu ini mengingatkan bahawa hati manusia kadang kala cuma memerlukan satu pelukan.
Dalam Sampai Jumpa pula, Afgan menggambarkan perpisahan melalui lensa penuh harapan, mempercayai bahawa semesta memisahkan dua jiwa agar kelak mereka lebih menghargai satu sama lain.
Ia diikuti oleh lagu Tak Ada Rencana, yang hadir dengan nada ringan, mengangkat kisah cinta yang muncul tanpa amaran sebagai pengingat bahawa keindahan sering terjadi tanpa dijangka.
Menerusi Kepastian, Afgan menonjolkan sisi optimis tentang keyakinan menunggu sesuatu yang benar-benar berharga, sementara lagu The One That Got Away akan membawakan suasana melankolik lembut tentang kesedaran yang hadir terlalu lewat.
Secara keseluruhan, Retrospektif disifatkan sebagai potret kematangan Afgan sebagai pemuzik dan insan. Album ini bukan sekadar nostalgia, tetapi tentang penerimaan serta penghargaan terhadap perjalanan hidup.
“Saya ingin orang yang mendengar album ini berasa ditemani. Buat saya, Retrospektif adalah perjalanan pulang ke tempat di mana saya pertama kali menemukan makna muzik dan jujur sama diri sendiri,” kata Afgan lagi.
Retrospektif kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital sejak 19 November lalu dengan membawa pendengar menyelami kisah perjalanan, kehilangan dan ketulusan yang menjadi inti karya seorang Afgan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini
@mediahiburanofficial Penyanyi Indonesia, Afgan, berkongsi situasi duet spontan menerusi lagu ‘Bukan Cinta Biasa’ bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di Festival Muzik Pestapora 2025 di Jakarta, Indonesia, September yang tular di media sosial. 🤳🏼 Mengormati dan kagumi perjalanan seni Siti, Afgan pada masa terbuka untuk berkolaborasi ✌🏼dengan penyanyi tersohor negara itu pada masa depan ✨ Dalam perkembangan lain, Afgan bakal mengadakan Retrospektif Showcase 😎 pada 5 Disember depan di Zepp KL, bersempena pelancaran album baharunya yang turut menggunakan judul sama, Retrospektif. Tiket untuk showcase tersebut telah mula dijual sejak 1 Oktober lalu di laman web golive-asia, dengan harga bermula RM358 hingga RM1,398 ✨👍🏼 #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ original sound – Media Hiburan