Categories: Berita Hiburan

“Sekarang Raya Terasa Lagi Berbeza Untuk Saya Sebab Sudah Ada Suami, Dua Anak,” – Syasya Rizal

Share

Selepas kejayaan lagu Raya Pum Pang tahun lalu, penyanyi Syasya Rizal kini tampil dengan single raya terbaharu berjudul Inikan Hari Raya.

Lagu yang ditulis sendiri oleh Syasya bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus ini membawa pendekatan berbeza dengan mesej penuh makna mengenai kesyukuran dan kesederhanaan.

Teguran Lembut Tentang Makna Sebenar Raya

Menurut Syasya, masyarakat masa kini dilihat semakin mementingkan kesempurnaan dan kemewahan sehingga terlupa makna sebenar Aidilfitri.

“Bagi saya, hari raya sebenarnya sangat dekat dengan rasa syukur. Kadang-kadang bila kita tengok di media sosial, raya nampak macam semuanya perlu besar, sempurna, baju banyak pasang, rumah cantik dan semuanya nampak mewah.

“Tapi realitinya tak semua orang sambut raya dengan cara macam tu. Raya bukan tentang apa yang kita tunjuk, tapi tentang siapa yang masih ada di sekeliling kita.

“Lagu ‘Inikan Hari Raya’ ini sebenarnya macam satu peringatan lembut bahawa kebahagiaan raya tak semestinya datang daripada kemewahan, tetapi daripada rasa cukup dan menghargai apa yang kita ada,” katanya.

Dalam masa sama, bekas anggota kumpulan Dolla itu mengakui teruja kerana ini kali pertama dia terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu.

“Ini sebenarnya pengalaman pertama saya terlibat secara langsung dalam proses penulisan lagu.

“Jadi bagi saya, ia sangat istimewa sebab mesej yang disampaikan dalam lagu ini benar-benar datang daripada hati saya sendiri kepada para peminat.

“Proses menulis bersama Amirul Azhar dan Amir Firdaus juga sangat menyeronokkan kerana mereka banyak membimbing saya tentang bagaimana membina melodi, emosi dan cerita dalam sebuah lagu,”

jelasnya.

 

Raya Lebih Istimewa Bersama Keluarga

Sementara itu, Syasya turut menyifatkan sambutan hari raya tahun ini bakal menjadi lebih istimewa dengan kehadiran cahaya mata keduanya.

“Sekarang raya terasa lagi berbeza untuk saya sebab sudah ada keluarga sendiri. Ada suami di sisi dan sekarang ada dua bayi comel Obot dan Obit yang buat suasana raya tu jadi lebih hidup.

“Bila ada anak, kita mula sedar bahawa raya bukan lagi tentang kita, kita mula cipta memori raya untuk mereka pula.

“Bagi saya, itulah sebenarnya makna raya yang paling indah,” kongsinya lagi.

Malah, Syasya turut berharap agar lagu ini dapat memberikan makna kepada seluruh umat Islam untuk merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran.

“Mungkin ada yang sambut raya secara sederhana, tapi semua itu tetap berharga.

“Lagu ini juga mengingatkan kita untuk sentiasa bersyukur dan berempati dengan orang lain yang mungkin tidak dapat merasai kegembiraan raya seperti kita.

“Kalau satu hari nanti ada orang cakap lagu ini mengingatkan mereka kepada kenangan raya bersama keluarga, itu sebenarnya hadiah paling besar untuk saya sebagai seorang penyanyi,” katanya lagi.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf