
Pelakon Wawa Zainal berkongsi rasa syukur apabila perniagaan anak keduanya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, berjaya mencatat jualan mencecah RM100,000 hanya dalam tempoh kurang sebulan ia diusahakan.
Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 34, pencapaian itu diraikan sempena ulang tahun kelahiran Hayla yang ke-10 pada Ahad lalu.
“Sebenarnya kami raikan hari jadi Hayla pada hari ini sebab jumlah keseluruhan jualan Sweet Layers by Hayla sudah capai RM100,000 dalam tempoh sebulan.
“Kami juga hadiahkan kedai untuk Hayla kerana bagi saya, untuk capai sesuatu yang lebih besar kena ada kedai fizikal supaya dia lebih fokus.
“Sebelum ini hanya Hayla bersama pembantu rumah dan ahli keluarga sahaja yang sama-sama usahakan, tapi selepas ini kami akan ambil pekerja,” katanya.
Wawa menambah, kedai fizikal tersebut akan mula beroperasi dalam masa terdekat di Seksyen 5, Bangi, Selangor.
Selain hadiah kedai, Wawa turut menitipkan doa agar anaknya terus membesar dengan akhlak yang baik serta memberi kebanggaan kepada keluarga.
“Saya doakan supaya Hayla menjadi anak yang baik dan solehah. Menjadi seorang yang beradab dan menjadi kebanggaan saya serta Aeril.
“Sekarang pun kami dah bangga dengan dia walaupun masih kecil tapi Hayla sudah ada bisnes sendiri,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Hayla sendiri tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya menerima hadiah istimewa berupa wang tunai RM3,000 serta sebuah kedai untuk perniagaan.
“Saya sangat seronok sebab saya dapat hadiah seperti duit dan kedai yang ibu bapa saya berikan.
“Duit yang saya dapat ini saya nak berikan kepada mereka yang memerlukan misalnya orang susah,” katanya spontan.
Sebagai informasi, Wawa dan pelakon Aeril Zafrel mendirikan rumah tangga pada 2013.
Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 12, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 10, Ayya Sofia, 6, dan Muhammad Fahri, 5.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini