Berita

“Sejak 2016, Saya Tak Pernah Tinggal” – A. Aida Teruskan Tradisi Edar Bubur Lambuk, Optimis Promosikan Salam HD

Share

Penerbit Datuk A. Aida meneruskan tradisi tahunannya buat kali kesembilan dengan mengedarkan bubur lambuk sempena Ramadan sebagai usahanya dalam berkongsi rezeki dengan masyarakat.

A. Aida atau nama sebenarnya, Zaidah Awang, 55, berkata aktiviti yang dijayakan dengan sokongan Unifi TV dan Salam HD ini bukan sekadar amalan bersedekah, tetapi juga bagi meraikan bulan penuh keberkatan.

Tak Jemu Amal Jariah

“Program ini kami sudah anjurkan sejak 2016 lagi. Bukan setakat edar beribu bekas bubur lambuk, tetapi kita juga turut sampaikan sumbangan kepada golongan sasaran.

“Sebelum ini, kita anjurkan majlis seumpamanya di dua lokasi berbeza, namun atas kekangan tertentu, ia terpaksa diadakan di sebuah lokasi sahaja tahun ini, iaitu di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya.

“Seiring dengan Program Agihan Bubur Lambuk JIM ini, pihak kami turut mengundang rakan selebriti untuk sama-sama turun padang.

Antaranya Datuk Hattan, Bella Astillah, Uqasha Senrose, Shahz Jaszle, Nadia Brian, Liza Abdullah dan ramai lagi.

“Selain mengeratkan hubungan dan melakukan amal jariah, objektif kami adalah untuk terus mempromosikan Salam HD kepada semua peringkat masyarakat.

“Aktiviti ini juga akan disiarkan dalam rancangan Jelajah Masjid yang turut mengandungi pelbagai segmen lain seperti sesi tazkirah dan perkongsian ilmu selama sejam.

“Ini menjadi antara salah satu pengisian rancangan berbentuk kerohanian buat penonton Salam HD kami, lebih-lebih lagi sepanjang 30 hari kita berpuasa,” katanya selaku pembekal kandungan untuk saluran Salam HD.

A. Aida ditemui sejurus selesai pengagihan kira-kira 3,000 bekas bubur lambuk di perkarangan Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya pada Isnin.

Majlis perasmian program itu telah disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, Naib Presiden Unifi Business, Dr. Yusman Ammeran, serta Naib Presiden (Government Sales) TM Technology Services Sdn. Bhd, Mohamed Faisal Naina Mohamed.

Sedekah Sebagai Doa Kesihatan

Dalam pada itu, A. Aida turut menyifatkan amalan bersedekah sebagai satu doa agar dirinya serta seluruh warga kerja Salam HD sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.

“Setiap kali saya jalankan aktiviti ini, saya mesti akan teringat pesan arwah bapa. Katanya, sedekah itu adalah ubat kepada segala penyakit.

“Jadi, sejak bersama-sama dengan Salam HD, saya sudah pasang niat untuk terus bersedekah dan memperbanyakkan majlis kerohanian, terutamanya pada bulan puasa.

“Sebab saya percaya kesihatan adalah rezekiNya yang paling besar. Syukur, dalam usia 55 tahun ini, alhamdulillah saya masih dikurniakan nikmat sihat itu,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, A. Aida yang juga pemilik rumah produksi A. Aida Production bakal menerbitkan drama adaptasi novel pada 7 Mac ini dengan kerjasama Karya Seni berjudul Game Over Romeo.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

 

@mediahiburanofficial Momen sebelum sesi agihan bubur lambuk di Jabatan Imigresen Malaysia, Putrajaya anjuran Salam HD bersama Dato A. Aida & rakan artis lain, hari ini. Program ini dirasmikan oleh YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. Antara selebriti yang turut hadir termasuk Datuk Hattan, Uqasha Senrose, Bella Astillah, Nadia Brian dan Shah Jaszle. #MHnews #MediaHiburan #FYP ♬ Islamic Humming – Ibnusta
Published by
MH