
Pelakon Fattah Amin menegaskan dia tidak pernah meletakkan syarat kepada mana-mana jenama yang ingin menjalin kerjasama dengannya untuk turut mengambil Amira Othman sebagai pasangan duta.
Menurut Fattah, dia lebih senang untuk bersikap terbuka dan profesional dalam setiap tawaran kerja serta menyerahkan sepenuhnya kepada pihak klien untuk membuat keputusan.
“Segalanya bergantung kepada permintaan klien. Saya tak pernah mencadangkan bahawa saya dan Amira mesti bersama. Setiap klien ada perancangan pemasaran dan bajet mereka sendiri.
“Mereka tak boleh sesuka hati nak memilih sahaja mana-mana artis. Mungkin ini rezeki Amira juga dan klien pun mendengar permintaan daripada peminat dan pelanggan,” katanya kepada MH.
Walaupun begitu, Fattah tidak menafikan, dia selesa bergandingan dengan Amira selepas beberapa kali mereka bekerjasama sebelum ini.
“Saya tak kisah pun nak bekerja dengan sesiapa. Fokus dan matlamat saya adalah untuk mencari rezeki yang halal. Bila bersama Amira, kami sudah bekerja untuk beberapa projek.
“Jadi, saya rasa selesa dan senang hati untuk bekerja bersama. Setakat ini kami tak pernah bergaduh. Kami memang serasi ketika bekerja. Amira juga sangat profesional,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Amira Othman turut mengakui kelebihan bergandingan dengan Fattah, malah menganggap dirinya menumpang rezeki pelakon tersebut.
“Fattah lebih berusia daripada saya. Jadi, saya kena dengar cakap dia. Dia kan abang. Saya rasa saya memang menumpang rezeki Fattah. Saya pernah bagitahu sebelum ini tapi pengurus Fattah tak suka saya kata begitu.
“Katanya ini adalah rezeki yang telah diaturkan oleh Allah. Asbab-asbab gimik kami sebelum ini, mungkin ada peminat yang suka melihat kami bersama.
“Mungkin klien juga gembira melihat sambutan yang mereka terima bila kami bersama. Alhamdulillah,” katanya.
Amira turut memuji sikap Fattah yang tenang dan mudah dibawa berbincang dalam setiap urusan kerja mereka.
“Tiada pergaduhan berlaku sepanjang kami bekerjasama. Kami bekerja mengikut apa yang tertulis di kontrak dan ikut permintaan klien.
“Mengenali Fattah, dia seorang yang sangat tenang dan tak banyak hal. Begitu juga saya. Saya tak suka pening-pening. Jadi, apa yang disuruh, kami akan buat.
“Kalau ada perkara yang tak sesuai, kita akan sama-sama berbincang dengan klien secara baik supaya tiada mana-mana pihak yang tidak gembira.
“Saya percaya setiap kerjasama ini adalah satu projek yang panjang. Kita kena ada persetujuan ramai. Kami juga ada dapatkan nasihat daripada pengurus masing-masing. Suasana kerja itu harmoni,” kongsinya lagi.
Terbaharu, Fattah dan Amira sekali lagi bergandingan sebagai duta untuk koleksi terbaru jenama pakaian Amber, menandakan keserasian mereka terus mendapat tempat di hati jenama dan peminat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini