
Penyanyi Kaka Azraf tidak mahu mengulas lanjut mengenai dakwaan pergolakan rumah tangganya bersama suami, Adam Azriff, dan memohon agar diberikan ruang buat masa ini.
Menurut Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Noor Azraff, dia masih belum bersedia untuk memberikan sebarang kenyataan dan berharap agar semua pihak mendoakan yang terbaik untuk keluarganya.
“Sebenarnya saya bukan nak mengelak, saya pun menghormati rakan media dan netizen yang ingin tahu tentang hal rumah tangga saya.
“Cuma sekarang ini untuk saya beri kenyataan, benda pun tidak ada yang nyata lagi. Jadi, saya tak mahu bercakap lebih lanjut.
“ Apa yang saya boleh katakan sekarang, saya mohon doa daripada semua. Doakan yang terbaik untuk saya, anak-anak dan Adam (suami),” katanya kepada MH.
Kaka berkata demikian ketika ditemui pada Majlis pelancaran Galeri Rockqueen di Denai Alam, Selangor, pada malam Rabu.
Meskipun begitu, anak saudara kepada penyanyi lagenda Ella ini tidak menolak kemungkinan untuk berkongsi lebih lanjut pada masa hadapan sekiranya sudah mempunyai pengesahan sah mengenai status perkahwinannya.
“Hal ini melibatkan ramai orang. Sebelum ini ada orang kata sampai bila saya nak lari. Saya tidak melarikan diri, cuma sedang menjaga banyak hati.
“Saya rasa kalau saya buka cerita ini (kisah keluarga) boleh mendatangkan fitnah. Jadi saya harap menghormati keputusan saya untuk tidak lagi berkongsi apa-apa.
“Alhamdulillah saya bahagia disamping anak-anak dan keluarga. Sekiranya ada pengesahan tentang status saya selepas ini, mungkin saya akan kongsikan untuk mengelakkan fitnah,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Kaka turut memaklumkan, segala isi hati serta kisah peribadi, termasuk berkaitan rumah tangga, akan diluahkan secara lebih mendalam melalui karya dalam album baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Menurutnya lagi, semua lagu dalam album itu ditulis sendiri berdasarkan pengalaman dan perjalanan hidupnya selama 14 tahun bergelar anak seni.
“Nantikan album terbaharu daripada saya. Selepas ini, anda mungkin boleh selami hati saya menerusi lagu-lagu yang sepenuhnya ditulis oleh saya sendiri.
“Karya-karya tersebut adalah luahan hati dan apa yang telah saya lalui sebelum ini. Ceritanya sangat dekat dengan saya.
“Saya boleh katakan album tersebut bakal menjawab teka-teki yang sedang berlaku ketika ini. Saya akan bentangkan dalam melodi dan lirik,” akhirinya.
Sebagai rekod, Kaka dan Adam mendirikan rumah tangga pada 14 Disember 2018 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aslan (6 tahun), Aryan (4 tahun) dan Atta Adam (1 tahun).
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini