Peserta program Gegar Vaganza musim kelima (GV5) Hetty Sarlene, tidak menafikan dia mempunyai alasan tersendiri apabila mengambil keputusan ‘senyap seketika’ dalam industri seni di negara ini.

Bagaimanapun selepas lebih lima tahun ‘senyap-sunyi’, bintang asal Singapura ini mengakui dia sudah pun bersedia untuk kembali memeriahkan dunia seni.

Katanya kepada MH, dia mengambil keputusan untuk berehat seketika daripada berada di depan lensa kamera memandangkan terlalu banyak cerita sensasi melibatkan dirinya, beberapa ketika sebelum mendirikan rumah tangga.

“Banyak hal yang berlaku dan ia antara sebab untuk saya berdiam diri seketika. Undangan membuat persembahan itu masih lagi ada. Cumanya saya jarang untuk muncul di media massa. Jadi mungkin daripada situlah ada yang anggap saya merajuk dan sebagainya.

 

“Sebenarnya tidaklah sampai tahap merajuk, cuma ketika itu diri ini masih belum bersedia. Apa pun, peluang bersaing bersama rakan artis lain di GV5 menjadi platform terbaik buat saya untuk kembali memeriah industri.

 

“Saya sudah bersedia, malah sudah ada beberapa perancangan jangka panjang demi kerjaya,” katanya optimis.

Mendapat sokongan penuh suami, Hetty yang sinonim menerusi lagu Sangsi Asmara ini memberitahu, projek jangka panjang yang difikirkannya adalah untuk kembali berlakon juga.

IKLAN

“Mujur, suami tidak pernah menghalang. Malah sepanjang tempoh senyap itupun, dia jugalah yang banyak berikan keyakinan dan galakan buat saya. Ya, adalah beberapa projek yang sedang difikirkan. 

 

“Misalnya saya sudah menyertai GV5 dan selepas itu ada perancangan untuk kembali berlakon. Saya juga baru pindah di sini jadi ia lebih memudahkan,” terangnya.

Untuk rekod, kali terakhir Hetty tampil dengan lagu baru lebih enam tahun lalu menerusi single Siapaku Di Sisimu.

GV5 yang bakal memulakan saingannuya pada Ahad ini turut menyaksikan 11 peserta lain yang bakal memberi saingan iaitu  Dia Fadila, Amelina, Zamani, Maya Matahari dan Elite.

IKLAN

Enam bintang lain yang turut serta ialah Safura, Noryn Aziz, dan Farawahida, duo Billy Zulkarnain, Shafie (Rio) dan kumpulan Forteen.

GV5 akan bersiaran selama lapan minggu akan bersiaran di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

IKLAN

Program realiti ini juga boleh ditonton menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan “on demand” untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Foto: Instagram Hetty Sarlene

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI