Categories: Hiburan

“Sebagai Penyanyi, Kita Ada Keinginan…,” – Nadeera Zaini Sedih Lagu Bukan Lagi Kita Gagal Lolos Ke AIM24, Percaya Rezeki

Share

Penyanyi Nadeera Zaini mengakui dirinya sedih apabila lagu Bukan Lagi Kita gagal mara ke pencalonan akhir Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24).

Bagaimanapun, dia tetap berlapang dada selain percaya kepada rezeki.

“Saya sendiri tak tahu nak cakap macam mana. Saya sebenarnya agak sedih bila lagu Bukan Lagi Kita tidak berjaya lolos ke pencalonan akhir.

“Agak sayang sebenarnya kerana lagu ini sudah dikenali ramai. Namun, saya tetap akur jika bukan rezeki saya lagi. Saya juga tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak.

“Bila difikirkan semula, nama saya juga masih agak baharu di dalam industri ini. Mungkin saya belum layak lagi,” katanya kepada MH.

Juara Big Stage 2023 itu menegaskan dirinya tidak akan sesekali patah semangat, sebaliknya terus berusaha menghasilkan karya lebih baik pada masa depan.

“Sebagai penyanyi, kita memang ada keinginan untuk bertanding di pentas AIM. Jadi, bila lagu saya tidak tercalon, saya rasa mungkin saya belum layak.

“Mungkin juga rezeki saya belum sampai lagi. Insha-Allah, jika kalian terus mendoakan, mungkin akan ada tempat buat saya bertanding pada edisi yang akan datang,” ujarnya lagi.

Harapan Baharu di AME2025

Dalam masa sama, Nadeera turut memohon maaf kepada para peminat sekiranya ada yang turut sama kecewa dengan keputusan tersebut.

“Kepada para peminat dan penyokong saya, saya minta maaf jika saya tidak dapat memuaskan hati kalian. Saya sudah cuba sedaya upaya saya.

“Jika anda terus menyokong saya. InshaAllah kita akan berjumpa lagi pada tahun-tahun yang akan datang,” kongsinya lagi.

Sementara itu, tuah menyebelahi Nadeera apabila dia tercalon menerusi tiga kategori top 20 di Anugerah Meletop Era 2025 (AME2025).

Walaupun begitu, dia enggan meletakkan harapan terlalu tinggi dan menyerahkan segalanya kepada rezeki.

“Saya takut nak meletakkan harapan yang terlalu tinggi. Ini adalah kali pertama saya tercalon untuk anugerah ini.

“Kalau berjaya mara ke top 5 pun, saya rasa sudah cukup terbaik.

“Saya rasa bersyukur bila ada pihak yang sedar dan merasakan saya mungkin ada harapan untuk memenangi anugerah-anugerah tersebut.

“Apapun, saya tetap menyerahkan segalanya kepada rezeki,” akhirinya.

Untuk rekod, Nadeera tercalon bagi tiga kategori di AME2025 iaitu Vokal Meletop, Lagu Meletop dan Penyanyi Meletop.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf