
Ada yang mengecam kerana kerap menggunakan perkataan ‘aku kau’ ketika ke udara, pengacara dan penyampai radio, Elly Arifin menerima segala teguran dengan berlapang dada dan hati yang terbuka.
Menurut Elly, dia melihat kritikan tersebut sebagai proses pembelajaran dan dia bersedia untuk memperbaiki setiap kelemahan pada masa akan datang.
“Saya ada terbaca komen-komen itu dan saya okay sahaja. Bila kita sudah melangkah ke dunia penyiarah radio atau televisyen, sudah tentu kita kena bersiap sedia dengan segala teguran.
“Saya tak lihat ia sebagai satu kritikan. Saya anggap segalanya positif sahaja. Kalau tiada teguran, saya akan syok sendiri. Saya tidak akan tahu silap saya dan aspek mana perlu diperbaiki.
“Setiap hari kita akan belajar perkara baharu. Saya terima segala teguran tersebut. Malah, saya juga berterima kasih kepada mereka yang menegur,” katanya kepada MH.
Penyampai radio Suria FM itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis Jom Kongsi Rezeki Bersama Anak Yatim yang di Urban Park Hall, Shah Alam, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Elly turut memaklumkan dia dan rakan penyampai, Ajak dan Fad sudah pun berbincang mengenai hal ini dan mengambil maklum setiap respon pendengar.
“Saya ada berbincang dengan rakan penyampai Fad dan Ajak. Kata mereka, jika situasi itu sesuai, kita akan gunakan ‘saya’ dan ‘awak’
“Saya juga faham, sebagai wanita, tak manis juga jika saya tak bahasakan diri ‘saya’ dan ‘awak’. Mungkin berbeza pula bagi Fad dan Ajak, mereka merupakan sahabat baik.
“Namun, itu juga tidak boleh menjadi alasan. Kami harus tetap profesional. Kita bukan berborak sesama kita sahaja di konti, kita mahu pendengar pun dengar sekali.
“Untuk selesakan telinga para pendengar, saya harus jadikan insiden ini sebagai iktibar,” ujarnya.
Ketika isu ini turut mendapat perhatian penyampai radio senior dan membuat teguran terbuka di media sosial, Elly bagaimanapun tidak berkecil hati dan anggap semua pihak berhak memberikan pandangan.
“Pada saya, setiap orang ada pilihan. Sesiapa pun berhak bersuara dan sampaikan pandangan yang sesuai. Saya tidak menyalahkan atau ada rasa marah terhadap sesiapa.
“Lagipun, apa yang dibagitahu itu ada betulnya. Dia juga penyanpai senior dan berhak menegur apa yang dirasakan tidak betul.
“Sebagai junior yang masih baru dan merangkak, saya ambil teguran itu sebagai sesuatu yang baik. Terima kasih kerana tegur saya. Ada kalanya saya terlepas pandang,” kongsinya lagi.
Ditanya mengenai respon pihak pengurusan mengenai hal ini, Elly memaklumkan semua pihak juga berusaha untuk memperbaiki mutu penyiaran.
“Mereka juga ada memberikan komen. Namun, mereka minta saya jangan risau. Kita cakna tentang isu ini tetapi jangan sampai terlalu memberatkan diri.
“Mana-mana stesen pun akan tetap menerima teguran daripada masyarakat. Yang baik kita ambil. Saya bersyukur kerana pendengar memberikan pendapat mereka,” akhirinya.
Terdahulu, menerusi majlis sama, seramai 50 orang anak yatim dari Asrama Kasih YBK Serendah (ASKAS) diraikan selain menerima sumbangan duit raya dan baju raya.
Acara tersebut telah dianjuran oleh Muhamad Izzat Samadi, bekas penghuni ASKAS yang pernah berteduh di rumah kebajikan tersebut selama enam tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini