Categories: Hiburan

Sean Kingston Dipenjara Tiga Tahun Enam Bulan, Terpalit Skandal Penipuan

Share

Penyanyi rap terkenal, Sean Kingston, dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun enam bulan selepas didapati bersalah dalam kes penipuan barangan mewah bernilai lebih AS$1 juta (RM4.5 juta) yang dilakukan bersama ibunya.

Sean atau nama sebenarnya, Kisean Paul Anderson, 34, sebelum ini popular dengan lagu hit Beautiful Girls pada tahun 2007. Beliau bersama ibunya, Janice Turner didakwan menggunakan helah slip pindahan wang palsu untuk mendapatkan barangan mewah daripada peniaga di sekitar Florida.

Antara barangan yang diperoleh termasuk SUV Cadillac kalis peluru, televisyen LED bersaiz gergasi, katil bernilai tinggi dan jam tangan berjenama. Sebagai tukaran, Sean didakwa menjanjikan publisiti serta promosi di laman media sosialnya, namun janji itu tidak pernah ditunaikan.

Kes berkenaan mendapat perhatian sejak Mei 2024 apabila pasukan SWAT menyerbu rumah sewanya di Florida. Ibu Sean ditahan dalam serbuan tersebut, manakala beliau puka diberkas sebaik sahaja selesai membuat persembahan di pangkalan tentera Fort Irwin, California.

Pada Julai lalu, ibunya telah dihukum penjara selama lima tahun. Dalam kes terbaharu, Sean bukan sahaja dikenakan hukuman penjara tiga tahun enam bulan, malah turut diperintah menjalani tiga tahun pengawasan selepas dibebaskan (supervised release).

Dalam perbicaraan, pihak pendakwa membentangkan mesej teks penyanyi itu kepada ibunya yang berbunyi, “I told you to make [a] fake receipt”. Bukti itu menjadi hujah kukuh bahawa Kingston sendiri merancang penipuan berkenaan.

Peguam bela cuba merayu agar Sean hanya dikenakan tahanan rumah dengan alasan kesalahan itu tidak membabitkan unsur keganasan, selain beliau merupakan penyara keluarga. Namun, rayuan tersebut ditolak oleh hakim yang menegaskan kes itu cukup serius dan memberi kesan besar kepada mangsa.

Meskipun menyatakan penyesalan dan berjanji untuk menggantikan kerugian kepada pihak yang ditipu, keputusan mahkamah tidak memihak kepada Sean. Beliau dibawa terus ke penjara sebaik hukuman dijatuhkan, menutup satu lagi episod hitam dalam karier seninya.

Hukuman ini sekali gus menjadikan masa depannya di pentas hiburan kabur. Dari bintang yang pernah menjadi sebutan seluruh dunia, kini namanya lebih dikenali kerana skandal penipuan yang memalukan.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

Published by
MFA