
Kemelut hubungan dalam keluarga selebriti terkenal dunia, David dan Victoria Beckham, kini memasuki fasa paling tegang apabila anak sulung mereka, Brooklyn Beckham, secara terbuka menyatakan pendirian bahawa dia tidak mahu berbaik semula.
Menerusi satu kenyataan panjang yang dikongsikan di media sosial, Brooklyn meluahkan rasa kecewa yang dipendam bertahun-tahun, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa hubungan dingin keluarga itu bakal pulih dalam masa terdekat. Tegasnya, keputusan tersebut dibuat demi ketenangan hidup dan kesejahteraan mentalnya sendiri.
Menurut Brooklyn, sepanjang membesar dia merasakan hidupnya sering dikawal, termasuk naratif keluarga yang dipaparkan kepada umum. Dakwanya, imej ‘keluarga sempurna’ yang sering ditonjolkan di media tidak mencerminkan realiti sebenar hubungan mereka di sebalik tabir.
“Saya tidak mahu berdamai semula dengan keluarga saya. Saya bukan dikawal oleh sesiapa, sebaliknya buat pertama kali dalam hidup, saya bangkit mempertahankan diri sendiri,” tulisnya di Intagram Story.
Lebih mengejutkan, Brooklyn turut mendakwa wujud campur tangan keluarga terhadap hubungannya bersama isteri tercinta, Nicola Peltz, sejak awal perkenalan lagi. Antaranya apabila Victoria membuat keputusan membatalkan untuk mereka baju perkahwinan buat Nicola di saat-saat akhir.
Beliau turut menyentuh mengenai bagaimana Victoria didakwa merampas tarian pertama mereka sebagai pasangan suami isteri dengan melakukan “gerakan yang tidak sesuai”, sekali gus membuatkannya berasa malu.
“Di hadapan 500 tetamu perkahwinan kami, Marc Anthony memanggil saya ke pentas, sedangkan mengikut atur cara, ketika itu sepatutnya berlangsung tarian romantik saya bersama isteri.
“Namun sebaliknya, ibu saya yang menunggu untuk menari bersama saya. Dia menari dengan cara yang sangat tidak sesuai di hadapan semua orang. Sepanjang hidup saya, saya tidak pernah berasa begitu tidak selesa dan terhina,” tulis Brooklyn lagi
Situasi janggal itu dikatakan berterusan sehingga selepas perkahwinan mereka pada tahun 2022, sekali gus memberi tekanan emosi yang besar kepadanya.
Dalam kenyataan sama, Brooklyn turut mengakui hubungannya dengan adik-beradik lain juga semakin renggang, malah ada yang tidak lagi berhubung di media sosial. Keadaan itu menjadikan jarak antara dirinya dan keluarga semakin sukar dirapatkan.
Brooklyn bagaimanapun menegaskan, keputusan menjauhkan diri daripada keluarganya bukan dibuat secara terburu-buru. Sebaliknya, ia lahir selepas lama memendam rasa dan mempertimbangkan kesan terhadap kehidupan peribadinya.
Setakat ini, David Beckham dan Victoria Beckham masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung pendedahan anak sulung mereka itu, sekali gus membuatkan isu keluarga Beckham terus menjadi perhatian dan bualan hangat media antarabangsa.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan