Uncategorized

“Saya Tiada Masalah Nak Duet Dengan Hadie Tapi…,” – Mawi

Share

Menyambut baik hasrat untuk bekerjasama, penyanyi dan pengacara, Mawi mengakui dia terbuka untuk berduet dengan pendatang baharu, Ehmad Hadie Elfardie.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, dia juga tidak ada sebarang halangan untuk bergandingan dengan anak kepada penyanyi Ina Naim itu, selagi projek yang dijalankan sesuai dengan kekuatan vokal mereka berdua.

“Saya okay sahaja dan tiada masalah nak berduet dengan Hadie. Jika sesuai, apa salahnya tapi kita kena tengok pada ‘barang’ atau lagu itu sendiri,” katanya kepada MH.

Dalam masa sama, penyanyi Aduh Saliha itu juga mengikuti perkembangan Hadie dan beberapa bakat baharu lain ketika mereka bertanding dalam program

Talk To My Manager (TTMM).

“Saya tahu Hadie kini merupakan penyanyi yang baru nak menapak di dalam dunia seni. Saya tidak menonton sangat program TTMM tapi anak saya ada menonton.

“Jadi, dia adalah cerita dan bagitahu saya tentang program tersebut. Saya pun tahulah serba sedikit,” kongsinya lagi.

Pesanan Buat Pendatang Baharu

Sementara itu, Mawi turut menitipkan pesanan khusus buat bakat-bakat baharu agar memanfaatkan platform hiburan untuk menyampaikan mesej positif, bukan sekadar mengejar glamor.

“Bakat di dalam industri hiburan ini ada fasa datang dan pergi. Program seperti TTMM sangat bagus kerana ia melahirkan bakat dan pelapis-pelapis baharu.

“Saya pun tak sangka yang saya kini sudah pun 20 tahun berada di dalam industri seni. Kita kena tahu tujuan sebenar kita masuk ke dalam industri hiburan ini.

“Adakah kita hanya ingin mencari glamor semata atau mahu menyampaikan sesuatu mesej. Sebenarnya, penyanyi ini mempunyai satu tugas yang sangat besar terutamanya dalam penyampaian lagu.

“Setiap lagu itu ada mesejnya. Jadi, kita ini secara tidak langsung menjadi penyampai. Itulah matlamat betul. Populariti pun perlu juga. Kalau tak popular, siapa nak dengar lagu kita? Bakat dan popular perlu seiring,” akhirinya.

Sebelum ini, media melaporkan keterbukaan Hadie apabila berkongsi mengenai peluang berduet bersama Mawi pada masa akan datang.

Malah Mawi baru-baru ini turut berkongsi sepotong video yang memaparkan pertemuan mereka berdua di sebuah acara, sekali gus berkongsi mengenai idea untuk merakam lagu bersama.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf