
Penyanyi, Hafiz Suip tetap dengan pendiriannya untuk tidak mengizinkan isterinya, Fiona Safiyya untuk kembali menyanyi dan aktif dengan aktiviti pentas selepas berumah tangga.
Bagaimanapun, Hafiz atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip tidak menolak andai mereka bakal bergandingan untuk projek kolaborasi pada masa akan datang.
Menurutnya, dia lebih selesa isterinya itu memberikan fokus terhadap keluarga selain meneruskan pekerjaan hakikinya sebagai ejen insurans.
“Isteri saya, Fiona dulu memang seorang penyanyi dan kami berkenalan pun ketika saya mencari penyanyi pengganti Adira untuk Konsert Hafiz Suip-Perjalananku di Kuching pada Oktober 2024.
“Cukuplah dia menyanyi untuk saya sahaja. Saya tetap menghormati kerjayanya sebelum ini tapi saya ada prinsip saya sendiri. Saya tak mahulah isteri saya terlalu kehadapan.
“Alhamdulillah dia okay sahaja dengan keputusan ini,” katanya kepada MH.
Hafiz berkata sedemikan ketika ditemui di majlis pelancaran single, Yang Engkau Mahukan, baru-baru ini.
Dalam masa sama, Fiona yang berbangsa Bidayuh memaklumkan dia menghormati keputusan dibuat suaminya itu, sekali gus bakal berehat seketika daripada dunia nyanyian.
“Saya menyanyi sejak kecil. Dahulu saya pernah sertai program realiti show, My Starz LG. Selepas progam itu, saya juga masih aktif menyanyi dan memenuhi jemputan di pelbagai majlis.
“Mungkin ada yang bertanya kenapa saya tak buat album? Ketika itu, kerjaya saya berada di tengah-tengah. Tidak terlalu aktif, tidak juga perlahan.
“Selagi ada acara dan jemputan. Saya akan menyanyi. Buat masa sekarang, saya berehat dahulu sebab suami minta saya berehat,” ujarnya.
Sementara itu, penyanyi lagu Awan Nano ini turut memanjatkan rasa syukur kerana dikurniakan isteri yang sentiasa menyokong perjalanan kerjaya seninya.
“Kini saya ada sokongan daripada isteri saya. Saya memang perlukan orang yang menyokong saya dalam industri nyanyian ini.
“Mengenali isteri saya, dia juga pernah berada di dalam industri ini dan dia juga tahu bagaimana selok-beloknya,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Hafiz dan Fiona telah mendirikan rumah tangga pada tanggal 13 Febuari lalu di sebuah majlis yang diadakan di Kuching, Sarawak.
Sekadar informasi, Hafiz sebelum ini pernah berkahwin dengan Nureffy Jasreel pada 2016 dan sah bercerai pada Mei tahun lalu.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri dan Muhammad Alkaf Zayne.
Fiona pula merupakan ibu tunggal yang memiliki tiga orang cahaya mata.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini