
Penyanyi dan pelakon, Apich Lo ralat apabila perjalanannya di program realiti Big Stage Alpha terhenti di minggu pertama sekali gus gagal meloloskan diri ke ‘Big 12’.
Menurut Apich atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzlullah Narudin, dia merasakan dirinya patut diberikan lebih peluang untuk menunjukkan bakatnya kepada seluruh rakyat Malaysia.
“Sejujurnya saya memang terkilan dan sedih. Nak buat macam mana? Saya pun tak tahu nak kata apa lagi. Kalau nak salahkan diri sendiri, saya pun tak tahu sejauh mana kemampuan saya setakat ini.
“Orang tahu saya boleh berlakon tapi dalam bidang nyanyian, saya belum diberi peluang sepenuhnya. Saya mengharapkan untuk mampu bertahan sehingga minggu ketiga atau empat.
“Saya nak tunjukan lagi bakat saya kepada seluruh rakyat Malaysia,” katanya kepada MH.
Pelakon drama Sekam Di Dada itu berkata sedemikian ketika ditemui di konsert minggu pertama Big Stage Alpha yang berlangsung di Royal Theatre Shah Alam pada Ahad.
Malah, Apich akui kurang pengalaman dalam dunia nyayian membuatkan dirinya kurang menonjol daripada peserta-peserta lain.
“Kalau nak kata saya tak layak, saya tidak akan sampai hingga ke 18 terbaik. Jika ada yang kata saya tidak berbakat, saya tidak akan terpilih langsung.
“Dalam bidang nyanyian ini, memang saya bermula daripada kosong. Saya tiada pengalaman menyanyi di atas pentas, tubuhkan kumpulan, teknik harmoni dan sebagainya.
“Namun, saya datang ke sini untuk belajar dan saya seorang yang cepat belajar. Cuma saya perlu diberikan peluang. Untuk tunjukkan apa yang saya ada. Mungkin rezeki saya setakat ini sahaja dan ada peluang lain di luar,” ujarnya lagi.
Ditanya sama ada dia merasakan dirinya lebih layak untuk berada di ‘Big 12’, Apich menyifatkan pilihan pihak juri adalah yang terbaik.
“Sudah tentu saya ada perasaan sebegitu. Namun, kesemua mereka adalah pilihan juri. Saya tak nafikan mereka semua bagus. Cuma saya yang tiada tempat di situ,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Apich tetap menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka meskipun sudah menolak beberapa tawaran berlakon untuk memberikan sepenuh tumpuan buat Big Stage Alpha.
“Saya memang nak bagi komitmen 100 peratus di sini. Bagaimanapun, saya tidak ralat. Sepanjang berada di sini, banyak ilmu yang saya belajar. Jadi, saya sangat bersyukur,” akhirnya.
Selain Apich, lima pagi peserta terpaksa meninggalkan pentas Big Stage Alpha iaitu Suff Ahmad, Syafeek Ikhwan, Alif Azri, Shaqeen dan Ridzwan Azman.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini