Berita

“Saya Terkejut, Tiada Sebarang Pendarahan,” – Berpantang Cara Moden, Fasha Sandha & Suami Reda Hasrat Timang Cahaya Mata Tak Kesampaian

Share

Aktres Fasha Sandha memaklumkan dirinya melalui proses berpantang secara moden selepas kandungannya yang berusia 10 minggu dilaporkan mengalami keguguran, baru-baru ini.

Fasha menjelaskan, dia tetap mampu bekerja dan menguruskan rutin harian seperti biasa.

“Bila berlakunya keguguran ini, saya berpantang secara moden. Saya masih lagi boleh bekerja dan menguruskan tugas-tugas seperti biasa.

“Selama ini, saya memang berpantang secara moden,” katanya kepada MH.

Mengulas lanjut mengenai punca keguguran, pelakon drama Doa Yang Terlindung itu memaklumkan kandungannya dilaporkan tidak sihat dan degupan jantung bayi terhenti pada minggu ke-10.

“Ketika saya sedar yang diri saya hamil, usia kandungan itu sudah pun sembilan minggu dan ada degupan jantung. Namun, pada minggu berikutnya pula, degupan jantung itu sudah tiada lagi.

“Kata doktor, bayi di dalam kandungan itu tidak sihat. Saya anggap tiada rezeki. Mungkin rezeki saya ada di tempat lain dan pada masa akan datang. Saya terima dengan hati yang terbuka. Saya dan suami reda.

“Saya agak terkejut kerana tiada sebarang pendarahan yang berlaku. Saya tahu tentang kehamilan pun pada minggu ke sembilan kerana kitaran uzur itu tidak teratur.

“Lagipun, Aisha Amaira masih menyusu badan pada waktu malam,” kongsinya lagi.

Reda Ketentuan Ilahi

Fasha turut menjelaskan, kehamilan tersebut berlaku tanpa perancangan memandangkan dia dan suami, Aidil Aziz, masing-masing sedang sibuk dengan komitmen kerja.

“Untuk kehamilan kali ini, kami memang tidak merancang kerana saya dan Aidil masing-masing sedang sibuk dengan projek drama. Segalanya berlaku tanpa dirancang.

“Ketika saya dan suami tahu tentang kehamilan ini, kami pun tertanya-tanya sama ada kandungan ini akan okay atau tidak? Kerana sebelum ini, saya sudah beberapa kali mengalami keguguran.

“Saya pun kata dengan suami, kita jangan terlalu meletakkan harapan. Saya juga sedang sibuk dan kita memang tidak bersedia dengan kehamilan ini.

“Kami pun tidak terlalu menunjuk keterujaan itu atau berkongsi di media sosial. Hanya keluarga sahaja yang tahu,” ujarnya lagi.

Pada minggu lalu, Fasha berkongsi khabar duka apabila memaklumkan dirinya sekali lagi mengalami keguguran.

Untuk rekod, Fasha dan Aidil mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2019 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Aisha Amaira yang kini berusia enam tahun.

Fasha juga mempunyai dua orang lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu bersama ahli perniagaan, Datuk Rizal Ashram Ramli, iaitu Putra Rayfal dan Putri Raysha Jemyma.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

 

Published by
Aizam Manaf