Categories: Berita Hiburan

“Saya Tak Nak Jadikan Ia Alasan,”- Shy8 Bukan Sengaja Nyanyi Mulut Senget! Rupaya Lidah Luka Sebab Gigi Retak

Share

Memandangkan ada segelintir penonton yang mempersoalkan gaya nyanyian sejak bersaing di Gegar Vaganza 12 (GV12), penyanyi dan pelakon, Shy8 akhirnya mendedahkan dia terpaksa menyembunyikan kesakitan disebabkan kecederaan yang dialami pada bahagian lidah.

Menurut Shy8 atau nama sebenarnya, Syed Mohamad Asri Syed Zainal Abidin Jamalullail, dia bagaimanapun tidak mahu menjadikan hal tersebut sebagai alasan dan terus berusaha menampilkan persembahan terbaik semampunya saban minggu.

“Pada minggu pertama lalu, lidah saya sebenarnya terluka. Sebab itu saya menyanyi dalam keadaan mulut senget. Beberapa hari selepas ujibakat, gigi saya retak. Jadi, saya tak boleh nak berlatih.

“Beberapa hari sebelum persembahan minggu pertama pula, gigi saya retak lagi. Bahagian gigi yang tajam itu berlaga dengan lidah.

“Selepas persembahan minggu pertama, saya pergi jumpa doktor dan minta kikis bahagian tajam itu. Barulah saya selesa menyanyi.

“Namun, saya tak mahu jadikan ia sebagai alasan. Setiap minggu saya cuba perbaiki mengikut komen daripada pihak juri,” katanya kepada MH.

Apa pun, Shy8 tetap menerima dengan hati terbuka apabila terpaksa tersingkir pada minggu keempat GV12.

“Pada saya, kita tak boleh pertikaikan soal rezeki. Dapat masuk program GV12 ini pun satu rezeki. Ada kalanya, bila kita tak berjaya, kita salahkan rezeki.

“Rezeki ini adalah perancangan dan susunan Allah SWT. Pasa usia sebegini, saya sudah biasa hadapi fasa jatuh dan bangun. Saya sudah kenal fasa kehidupan yang lebih baik.

“Apapun yang berlaku, kita biarkan sahaja ia berlalu, gembirakan diri sendiri dan jangan buang masa fikirkan hal-hal negatif.

“Jangan letakkan ekspektasi yang terlalu tinggi. Kita tahu tahap diri kita sendiri. Jadi, kenapa nak letakkan tekanan terlalu tinggi?,” ujarnya lagi.

Semangat Baharu Selepas GV12

Katanya lagi, dia juga teruja kerana dapat kembali berinteraksi bersama peminat yang sudah lama menantikan kemunculan sebagai Shy8.

“Bila masuk ke program GV12 ini, saya dapat tunjukkan satu sisi saya yang lain. Ramai yang tak tahu saya pernah buat album. Saya memang sudah lama teringin nak muncul di pentas besar.

“Bila Astro beri tawaran untuk sertai GV12, saya dapat tunjukkan cara saya menyanyi. Pada zaman saya dahulu, kebanyakkan penyanyi lebih fokus kepada aspek penjiwaan berbanding teknikal.

“Bila masuk ke tahun 2000-an, hampir semua penyanyi sudah mula belajar vokal. Jadi, saya sudah agak terlambat. Apapun, saya gembira kerana dapat penuhi permintaan peminat yang rindu nak dengarkan lagu-lagu saya,” kongsinya lagi.

Sementara itu, pelakon filem Zombi Kampung Pisang ini turut berharap agar kemunculanya di GV12 dapat membuka peluang baharu buat dirinya sebagai anak seni.

“Terpulanglah kepada penerimaan para peminat dan permintaan pasaran. Setidaknya saya ada pilihan lain. Sebelum ini, orang panggil saya untuk berlakon sahaja.

“Mungkin selepas ini, orang boleh panggil saya untuk menjadi pengacara majlis. Saya boleh menyanyi dan mengacarakan majlis. Itu mungkin boleh jadi pakej.

“Mustahil Allah buka sesuatu jalan itu tanpa sebab. Saya menanti sahaja apa tawaran yang bakal diberikan. Jika mereka sudah bosan dengan pesona Usop Wilcha, mereka boleh lihat sisi saya yang lain,” akhirinya.

Hanya Raih 52.00%

Terdahulu, Shy8 terpaksa mengucapkan selamat tinggal di pentas GV12 selepas hanya sekadar meraih 52.00 peratus untuk berada di kedudukan ke-12.

Malam tadi, Shy8 berduet bersama penyanyi Farahdhiya menerusi lagu, Siapa Dia Sebelum Daku.

Turut tersingkir di minggu keempat ini adalah penyanyi veteran, Dato’ Elaine Kang.

GV12 bersiaran secara langsung di MBSA Shah Alam mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam.

dan dipancarkan secara langsung menerusi saluran Astro Ria (saluran 104).

Program ini juga boleh disaksikan melalui strim secara On Demand di Astro GO dan sooka.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf