
Penyanyi dan usahawan, Nubhan Ahamad mengakui dirinya kini lebih mementingkan kesihatan mental dan enggan terganggu dengan komen-komen negatif netizen.
Menurut Nubhan, dia kini mahu kekal fokus untuk memberikan persembahan terbaik sepanjang bertanding dalam program Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12).
“Setiap satu komen netizen, saya tak baca. Fokus dan keutamaan saya adalah terhadap diri sendiri, persembahan dan GV12.
“Jadi, saya tak mahu anasir-anasir lain mengganggu saya dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya.
“Saya juga tak nak hal-hal seperti ini mengganggu mental saya. Kita ada pilihan.
“Kalau rasa diri sendiri kuat untuk tengok dan hadam satu per satu komen netizen, terpulanglah kepada anda. Namun, itu bukan cara saya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Ada Untukmu itu turut meluahkan rasa syukur atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diterimanya daripada para peminat.
“Lebih baik saya fokus kepada diri sendiri dan cuba untuk melakukan yang terbaik dalam setiap persembahan. Walaupun apapun yang berlaku ketika ini, masih ramai orang yang menyokong saya.
“Jadi, lebih baik saya berikan yang terbaik kepada mereka yang menyokong dan nak melihat kejayaan saya. Mereka sangat positif.
“Saya tak nak terjun ke lembah hitam dan merosakkan diri saya sendiri,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nubhan menyifatkan setiap individu mempunyai pandangan berbeza terhadap sesuatu perkara.
“Ada kalanya, saya rasa kita tak perlu pun nak baca komen. Apa yang kita nak cari sebenarnya? Pujian ke? Kita tak hidup dek puji.
“Nak cari cacian? Kita pun tak mati dikeji. Kita hanya perlu tahu apa kekuatan dan kelemahan kita. Jadi, kita berikanlah yang terbaik semampu yang boleh.
“Apa pun yang kita buat, tidak akan mampu puaskan hati semua orang,” kongsinya lagi.
Terdahulu, nama Nubhan menjadi perhatian ramai berikutan kemelut rumah tangganya bersama isteri, Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Prosiding pengesahan lafaz cerai antara Nubhan dan Dr. Afifah dijadualkan bersambung pada 2 Disember depan di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Dalam perkembangan terbaru, penyanyi itu turut memfailkan hak penjagaan anak kekal dan interim terhadap tiga cahaya mata mereka.
Sekadar informasi, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Aafiya, Ahmad Aaffan, dan Afzan Nayille.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini