Categories: Berita Hiburan

“Saya Sudah Rancang Tapi…,” – Kamal Adli Reda Sambut Anniversary Ke-4 Seorang Diri, Doa Agar Dapat Kembali Bersama Keluarga

Share

Pelakon Kamal Adli tetap reda walaupun buat pertama kali, dia terpaksa menyambut ulang tahun perkahwinannya yang keempat, hari ini seorang diri tanpa kehadiran isteri yang juga aktres, Uqasha Senrose di sisi.

Menurut Kamal, dia sebenarnya sudah pun merancang untuk meraikan momen istimewa itu, namun disebabkan kemelut rumah tangga yang sebelum selesai, ia tidak dapat direalisasikan.

“Alang-alang semua ada dekat sini, saya nak bagitahu, hari ini adalah ulang tahun perkahwinan saya yang keempat.

“Saya sebenarnya sudah ada perancangan untuk menyambut hari ulang tahun perkahwinan saya tapi disebabkan isu yang berbangkit ini. Ia tak dapat dilaksanakan.

“Tak mengapalah, saya okay sahaja,” katanya ketika ditemui di majlis sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur pada Rabu.

Bersebab Lewat Ke Majlis

Jelas Kamal lagi, kelewatannya menghadiri majlis sidang media ini juga kerana dia terpaksa bergegas dari lokasi yang sepatutnya menjadi tempat meraikan ulang tahun perkahwinannya itu.

Katanya lagi, sambutan pada tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

“Tahun ini, sambutan anniversary saya agak berbeza. Saya sambut sendiri sahaja. Saya sebenarnya memang ambil cuti selama tiga hari.

“Saya memang sudah merancang dan setiap tahun memang begitu. Cuma tahun ini sambutannya tak berjaya sangat,” kongsinya lagi.

Bapa kepada seorang cahaya mata itu turut menambah, bersempena ulang tahun perkahwinan kali ini, dia memanjatkan doa dapat kembali menjalani kehidupan bersama keluarga tersayang.

“Seperti yang orang selalu perkatakan, lima tahun pertama perkahwinan memang agak mencabar. Saya selalu bercakap kepada diri sendiri, ini adalah dugaan yang Allah nak bagi.

“Insya-Allah ada benda baik yang menanti. Saya mengharapkan benda yang baik itu adalalah saya dapat bersama kembali bersam keluarga.

“Saya bukan nak meraih simpati atau buat orang kesian dengan saya. Pada waktu ini, biarlah orang nampak saya mengejar anak dan isteri saya.

“Saya bukan berperang untuk berpisah tapi saya berperang untuk tidak berpisah,” ujarnya lagi.

Hargai Sokongan Warganet

Kamal dalam pada itu meluahkan rasa syukur dengan sokongan yang diberikan warganet, mengharapkan agar rumah tangganya bersama Uqasha dapat diselamatkan.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana mendapat sokongan daripada peminat dan orang ramai. Sokongan mereka memang gila. Mereka sudah seperti sahabat saya.

“Mereka doakan saya dan beri macam-macam idea. Terima kasih juga kepadan netizen yang spam ruangan komen Uqasha.

“Walaupun usaha itu seperti tidak terlalu menjadi, inshaAllah kita cuba cara lain pula nanti,” akhirinya.

Dalam perkembangan lain, Kamal bakal muncul menerusi drama terbaharu yang berjudul Bahagia Yang Tertangguh yang akan ditayangan di Astro Ria bermula 17 November ini.

Selain Kamal, drama arahan Osman Ali ini juga turut dibintangi barisan pelakon seperti Nad Zainal, Izzue Islam dan Rozita Che Wan.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf