Hiburan

“Saya Serahkan Segalanya Kepada Sistem Keadilan,” – Naim Daniel

Share

Penyanyi dan pelakon Naim Daniel menyifatkan dakwaan berkaitan kes amang seksual terhadap remaja berusia 17 tahun sebagai berat.

Naim pada masa sama turut memaklumkan, dia belum bercadang untuk mengulas lanjut berkaitan isu ini kerana tidak mahu mengganggu proses mahkamah.

“Hari ini, saya baru sahaja didakwa untuk satu tuduhan yang berat. Saya faham semua pihak ada persoalan dan tanda tanya yang mengejutkan sesetengah pihak juga.

“Buat masa sekarang, saya belum bercadang nak mengulas panjang tentang perkara ini.

“Oleh kerana ia masih di peringkat awal dan saya tidak mahu ada sebarang campur aduk yang mungkin boleh mengganggu perbicaraan nanti,” katanya.

Penyanyi lagu Sumpah itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas selesai prosiding di Mahkamah Sesyen Putrajaya, pada Selasa.

Komited Akan Beri Kerjasama Penuh

Naim menambah lagi, dia juga akan memberikan sepenuh kerjasama sepanjang proses perbicaraan berlangsung demi membersihkan nama.

“Buat masa sekarang saya serahkan segalanya kepada sistem keadilan. Saya juga di sini komited untuk memberikan kerjasama yang penuh bagi membersihkan nama saya.

“Saya harap dapat doa daripada semua orang. Terima kasih. katanya lagi.

Ditanya mengenai keadaan mentalnya ketika ini, Naim memaklumkan segalanya dalam keadaan baik.

“Alhamdulilah okay, saya pun tidaklah ada melatah atau apa. Cuma buat masa sekarang, memang betul-betul fokus pada perkara ini dahulu,” ujarnya.

Terdahulu, Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual terhadap remaja berusia 17 tahun.

Naim juga selesai membayar ikat jamin berjumlah RM12,000 dan menyerahkan passport antarabangsanya kepada pihak mahkamah.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula pada 18 Ogos depan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Published by
Aizam Manaf