
Ratu dangdut Indonesia, Inul Daratista turut berdukacita dengan situasi tegang yang melanda negaranya ekoran demonstrasi besar-besaran rakyat baru-baru ini.
Menurut Inul atau nama sebenarnya Ainul Rokhimah, kemelut politik itu memberi kesan besar terhadap kehidupannya, termasuk perniagaan yang diusahakan.
“Situasi yang melanda Indonesia baru-baru ini turut membuatkan saya sedih kerana banyak perkara yang terjejas termasuk perniagaan. Saya mempunyai lebih 5,000 pekerja yang turut terkena tempias disebabkan demonstrasi.
“Saya tidak ikut berdemo tetapi tetap mengikuti perkembangan semasa tentang apa yang sedang berlaku termasuk keadaan politik di Indonesia.
“Keadaan terkini semakin menunjukkan perubahan positif dan kembali reda. Harapnya semuanya kembali aman dan urusan harian dapat kembali normal,” katanya.
Penyanyi yang sinonim dengan tarian ‘goyang gerudi’ itu berkongsi rasa ketika ditemui pada majlis sidang media pengumuman Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Dalam masa sama, Inul berharap insiden ini menjadi pengajaran buat semua pihak termasuk pemimpin yang memegang tampuk kuasa.
“Saya sendiri rasa serba salah, kerana mereka yang terlibat adalah kenalan. Ada di antara yang sudah digantung tugas dan dipecat.
“Semoga ini menjadi pengajaran untuk semua dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku. Doakan Indonesia kembali aman,” ujarnya.
Mengulas mengenai konsert yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang pada 6 Disember nanti, Inul tidak menyembunyikan keterujaannya kerana dapat kembali beraksi di pentas besar Malaysia selepas hampir dua dekad.
“Saya sangat senang dapat kembali membuat persembahan di Malaysia selepas hampir 20 tahun tidak beraksi di pentas besar. Kali terakhir saya berada di Malaysia sebagai juri Maharaja Lawak Mega 2019.
“Jadi apabila dilamar, saya tidak menunggu lama untuk buat keputusan, terus bersetuju. Tambahan pula dapat beraksi dengan kawan lama saya, Amelina dan anak didik saya, Baby Shima.
“Sudah tentu saya akan belanja goyang gerudi yang menjadi ‘trademark’ sejak awal pembabitan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Inul menegaskan beliau akan tetap mematuhi segala garis panduan yang ditetapkan pihak kerajaan Malaysia sepanjang konsert berlangsung.
“Ketika konsert nanti, saya akan tampil bersesuaian dengan peraturan yang ada di sini. InshaAllah saya juga tidak akan menghilangkan style persembahahan Inul Daratista.
“Tenang sahaja. Saya akan ikut sahaja kehendak pihak penganjur,” tambahnya.
Untuk rekod, tiket Konsert Inul Daratista Live in Malaysia ‘Millenial Dangdut Nusantara’ sudah mula dijual bermula pada harga RM78 (Rindu), RM98 (Goyang), RM118 (Pura Pura), RM168 (Island Boi), RM228 (Kocok), RM278 (Asyik) dan RM468 (Arjuna).
Selain Inul, konsert ini turut menampilkan dua penyanyi dangdut popular Malaysia, Amelina dan Baby Shima.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini