
Di sebalik keyakinan dan wajah ceria yang sering ditunjukkan ketika membuat persembahan, penyanyi Indonesia, Shae mendedahkan dia sebenarnya menderita masalah pendengaran pada bahagian telinga kiri sejak usianya lapan tahun.
Menurut Shae, hasil laporan doktor menunjukkan saraf di bahagian telinga kirinya mempunyai masalah dan tidak bersambung ke bahagian otak.
“Sejak daripada sekolah rendah, saya ada masalah pendengaran. Malah, sejak kecil, saya sering keluar masuk hospital kerana mengidap pelbagai penyakit.
“Jadi, saya rahsiakan tentang masalah pendengaran itu daripada kedua ibu bapa saya. Kalau ada masalah, saya cari solusinya sendiri.
“Ketika berusia 16 tahun, barulah saya bagitahu mereka. Ketika itu, saya juga alami masalah penglihatan. Kami pergi ke tiga buah hospital untuk berjumpa dengan doktor pakar.
“Kesemua doktor maklumkan telinga kiri saya tidak berfungsi. Saya sebenarnya tuli dan hilang kedengaran total,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Sayang itu berkata demikian ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu ketiga Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.
Jelas Shae, sepanjang bergelar penyanyi, dia sangat bergantung pada teknologi ‘floor monitor’ dan ‘ear monitor’ untuk memastikan persembahannya berjalan lancar.
“Sebagai penyanyi, kita memang ada ‘floor monitor’. Jika ‘floor monitor’ atau saya sendiri tidak berada di posisi yang tepat, saya tidak akan boleh dengar muzik, bunyi mikrofon dan suara saya sendiri.
“Jadi, saya tidak akan boleh menyanyi. Untungnya, pada zaman ini, kita ada kemudahan ‘ear monitor’.
“Selagi ear monitor saya dapat disetkan betul-betul, saya tidak akan ada masalah,” ujarnya lagi.
Shae juga menegaskan bahawa dia enggan menjadikan kekurangan pendengaran tersebut sebagai alasan untuk berhenti mengejar impian.
“Saya tidak menggunakan alat bantuan pendengaran. Kata doktor, jika saya buat pembedahan sekali pun, tiada jaminan saya boleh mendengar semula.
“Sebelum ini, Tuhan berikan saya dua telinga untuk mendengar. Kemudian, sebelah kiri menjadi tuli. Itu pun kerana kehendak tuhan juga.
“Jadi, saya hanya menyerahkan segalanya kepada tuhan juga. Namun, selama saya masih boleh menyanyi, saya akan terus berjuang,” katanya.
Ketika ditanya sama ada dia mengalami masalah kestabilan seperti sesetengah individu pekak, Shae ada pandagannya sendiri.
“Saya pun baru sahaja tahu mengenai perkara itu ketika saya berkunjung ke sebuah sekolah asrama di Jawa yang khusus menempatkan anak-anak yang punyai masalah pendengaran.
“Murid-murid dan guru-guru di sana bertanya macam mana saya boleh jadi penyanyi dan mampu berdiri tegak jika saya pekak.
“Mungkin disebabkan saya dahulunya dilahirkan dengan pendengaran yang sempurna. Jadi, saya tahu untuk berdiri tegak, mendengar dan ikut muzik,” akhirinya.
Terdahulu, Shae mendedahkan mengenai masalah pendengaran itu menerusi video VT yang dipaparkan sebelum dia membuat persembahan.
Pada konsert minggu ketiga ini, Shae mempersembahkan lagu Risalah Hati yang dipopularkan oleh kumpulan Dewa 19, namun harus berpuas hati sekadar menduduki tempat ke-12.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini