
Selepas hampir tiga tahun menyepi daripada industri seni tanah air, penyanyi Ziha Salleh kini kembali membuat kemunculan semula dengan melancarkan single terbaharu berjudul Romansa.
Menurut Ziha, sepanjang tempoh tersebut dia sebenarnya sedang menantikan sebuah lagu daripada komposer terkenal, Aubrey Suwito.
“Sebenarnya saya sedang menunggu lagu baharu daripada Aubrey Suwito. Namun, dia sangat sibuk. Saya tak nak desak dia untuk dapatkan lagu terbaik.
“Biarlah komposer itu cari waktu yang sesuai untuk mengilhamkan sesuatu yang baik. Saya tak mahu memaksa untuk setiap tahun keluarkan lagu.
“Saya utamakan kualiti daripada kuantiti. Pada saya, Romansa ini datang pada waktu yang tepat.
“Kebetulan juga lagu dari Aubrey juga sudah siap. Ini tahun untuk saya kembali menyinar,” katanya kepada MH.
Lagu Romansa yang berentak City Pop ini merupakan sebuah karya ciptaan sahabatnya yang juga penyanyi dan komposer Indonesia, Allan Andersn.
Bekas bintang Akademi Fantasia musim ke-11 itu berkata demikian ketika ditemui di majlis sidang media lagu Romansayang berlangsung di Liten Coffee, Ampang pada Selasa.
Dalam pada itu, Ziha akui tidak berkecil hati jika ada yang sudah melupakan namanya sebagai seorang penyanyi, meskipun pernah memenangi Anugerah Industri Muzik ke-23 menerusi lagu Adat Kasih.
“Ada kerisauan jika nama saya dilupakan. Namun, saya hanya berserah kepada Allah. Ada sebab mengapa kerjaya saya tertangguh untuk tiga tahun.
“Dalam tempoh tersebut, saya tidak terlalu kecewa kerana banyak juga kejayaan yang diraih dalam kehidupan peribadi, keluarga dan anak-anak.
“Saya tidak berkecil hati jika orang tak kenal nama saya. Saya sudah reda dan berdamai dengan takdir. Pada saya, semua anak seni mengalami fasa jatuh dan bangun.
“Sewaktu usia saya masih muda, memang benar saya akan persoalkan segalanya. Kini saya hanya meneruskan hidup dan rezeki ada di mana-mana,” kongsinya lagi.
Katanya lagi, dia kini percaya bahawa setiap perancangan Allah itu adalah yang terbaik.
“Mungkin Allah nak ajar saya untuk bersabar. Bila tiba waktunya, ia akan terjadi juga.
“Saya tak mahu memaksa apa-apa lagi keadaan pada masa hadapan. Saya bersyukur dengan segala pemberian Tuhan,” katanya.
Dalam pada itu, Ziha turut berharap agar lagu Romansa ini akan menjadi titik tolak kepada kebangkitannya di dalam industri seni.
“Saya rasa Romansa ini akan bawa saya kembali untuk betul-betul serius dalam dunia nyanyian. Saya hanya akan ikut keadaan.
“Saya pun tak sangka pihak media akan buat liputan hari ini. Saya sentiasa berdoa kepada Allah, jika ini yang terbaik, saya akan teruskan.
“Jika belum waktunya lagi, saya akan meneruskan kehidupan seperti biasa. Saya akan terus keluarkan lagu untuk penuhi senarai lagu saya dan untuk anak-anak dengar karya-karya ibunya,” akhirinya.
Romansa kini sudah boleh didengari di seluruh platform penstriman utama.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini