Categories: Berita Hiburan

“Saya Peluk Islam Pada 2020 Dan…,” – Filem Ninavau Angkat Realiti Mualaf, Bebbra Mailin Kongsi Konflik Peribadi

Share

Pernah berdepan konflik ketika menjadi mualaf lima tahun lalu membuatkan pengarah, Bebbra Mailin rasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman melalui filem sulungnya, Ninavau.

Menurut Bebbra, situasi yang dilaluinya sebelum ini disifatkan sebagai sesuatu yang jarang diperkatakan dalam ruang yang lebih besar.

“Saya dibesarkan di Sabah dalam sebuah keluarga Kristian Katolik. Ketika umur 18 tahun saya berhijrah ke semenanjung untuk melanjutkan pelajaran.

“Saya memeluk agama Islam pada tahun 2020 dan setiap konflik bersama keluarga ditonjolkan dalam filem ini, saya telah laluinya terlebih dahulu.

“Bagaimanapun, isu yang saya mahu angkat di sini adalah penerimaan keluarga dan toleransi masyarakat di tempat saya.

“Malah bagi saya, pertalian darah juga tidak akan putus walau apa yang terjadi,” katanya pada tayangan perdananya baru-baru ini.

Berkongsi lanjut, Bebbra berkata asalnya Ninavau dihasilkan sebagai filem pendek dan terinspirasi daripada kisah sahabatnya yang memeluk Islam.

Selepas karya itu dinobatkan sebagai Filem Pendek Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest) 2019 dan dia akhirnya menerima peluang untuk menghasilkan filem cereka pertama.

“Ketika mengarah filem pendek Ninavau saya masih beragama Kristian.

“Tetapi ketika mengarah filem pada 2022 saya telah pun memeluk agama Islam. Jadi, naratif agak berbeza namun matlamatnya tetap sama mahu menyampaikan mesej yang positif,” luahnya lagi.

Tanggungjawab Produksi

Ninavau mendapat klasifikasi P16 meskipun tidak memaparkan adegan seksual atau ganas.

Menurut penerbitnya, Muzzamer Rahman, ia mungkin kerana karya tersebut menyentuh aspek keagamaan.

“Pihak produksi sangat berhati-hati dalam menulis skrip kerana kita tahu isu ini sensitif. Sebelum ditapis oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF), kami sendiri telah tapis dan mengikut segala garis panduan yang ditetapkan.

“Cuma hanya ada satu babak yang dikeluarkan oleh pihak kami sendiri. 

“Jadi, sebelum dijadikan kontroversi dan propaganda lebih baik kami buang babak tersebut,” ujar Muzzamer mengenai karya terbitan Le Mediator Studio & Kristal Azmir itu.

Sementara itu pelakon utamanya Jovenea Jim, pula mendedahkan demi menghayati watak seorang mualaf, dia mempelajari cara solat dan berwuduk.

“Saya beragama Kristian, tetapi untuk watak mualaf saya harus belajar cara-cara solat dan berwuduk.

“Sejujurnya, agama Islam tidaklah asing kerana ada kalangan keluarga dan sahabat baik juga mualaf.

“Saya banyak belajar daripada pemerhatian di sekeliling dan sudah bersedia untuk menerima respons pelbagai terhadap watak yang saya bawakan ini,” tutur Jovenea.

Filem Ninavau bakal menemui penonton di pawagam 4 Disember depan dan dibintangi oleh pelakon asal Sabah Jovenea Jim (Ninavau), Edward Sinsong (Edward), dan Tati Eliana Tonny (Elvira) serta diserikan dengan lakonan Fatimah Abu Bakar dan Hasnol Rahmat.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH