
Pelakon dan pengacara versatil, Sherry Alhadad mengakui belum bersedia menjalani sebarang prosedur pembedahan untuk menurunkan berat badan.
Menurutnya, keengganan itu berpunca daripada kebimbangan terhadap risiko kesihatan yang mungkin boleh timbul selepas pembedahan.
“Saya tak berani nak buat pembedahan. Saya seorang yang jarang sakit. Jadi, saya juga jarang pergi ke hospital atau klinik. Saya takut kalau ada apa-apa. Minta jauhlah.
“Disebabkan faktor itu, saya okay sahaja dengan keadaan saya sekarang. Memang ada pihak yang ingin menaja pembedahan tersebut tapi saya tolak dengan cara baik.
“Ketika ini, belum tiba waktunya saya buat pembedahan itu. Saya belum terbuka hati lagi,” katanya ketika ditemui di program MeleTOP baru-baru ini.
Sherry yang turut dikenali menerusi drama Khunsa menjelaskan, dia kini sedang berusaha menurunkan berat secara organik, walaupun menyedari proses itu sangat mencabar.
“Hanya mereka yang pernah lalui sahaja tahu betapa susahnya nak menurunkan berat secara organik. Saya sudah lalui macam-macam proses.
“Saya pernah turun berat kemudian, naik semula. Memang agak mencabar. Orang kata, saya ini kategori ‘yo-yo’. Senang naik dan turun berat.
“Ada ketika saya berjaya turun berat dan ada waktu, berat saya naik mendadak. Perkara paling penting, mental kena kuat. Itu yang belum dapat saya perjuangkan lagi.
“Bila mental saya sudah kuat, saya mudah down semula. Pada masa sama, saya ada kawan-kawan yang akan sokong saya,” tambahnya lagi.
Sherry turut berkongsi, walaupun kini sudah lama berada dalam industri hiburan, dia masih lagi ada menerima ejekan terhadap fizikalnya, terutama di media sosial.
“Saya masih ada lagi menerima ‘body shamming’ sebab kita tak boleh nak kawal komen-komen netizen tapi tidak terlalu kerap.
“Namun, alhamdulillah sepanjang saya masuk ke dalam industri, ramai yang body shamming saya tapi lama-kelamaan mereka sendiri lupa hal itu.
“Mereka melihat perjalanan saya di industri ini,” katanya.
Menariknya, Sherry percaya, tubuh badannya yang besar juga mempunyai keistimewaan tersendiri yang turut menyumbang kepada kejayaannya dalam dunia hiburan.
“Ada penerbit dan pengarah bagitahu saya supaya jangan turut berat. Kalau kurus, mungkin saya tidak laku lagi. Orang sudah kenal saya sebegini.
“Ada orang kata, kalau saya kurus, saya tidak kelakar lagi. Pada saya, selagi ada peminat, mereka terima saya sama ada kurus atau tidak.
“Ya, saya percaya kepada tuah itu. Walaupun saya berbadan besar tapi saya selesa dengan diri saya. Saya jadi diri sendiri,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini