
Bakal meniti usia 48 tahun, cef selebriti dan penyanyi Datuk Fazley Yaakob akui dia kini memberi lebih perhatian terhadap soal penjagaan kesihatan dan penampilan diri.
Bukan kerana tuntutan kerjaya dunia glamor semata-mata, sebaliknya ia adalah kesedaran bahawa usia yang semakin meningkat menuntutnya untuk menjaga tubuh dan minda agar kekal sihat, bertenaga serta menjadi contoh terbaik buat anak-anaknya.
“Lagi dua tahun saya akan berusia 50 tahun. Penjagaan wajah, penjagaan diri dan kesihatan tubuh badan sangat penting bagi saya. Sebenarnya, saya sudah mula amalkan gaya hidup sihat sejak 10 tahun lalu.
“Ramai rakan seusia saya telah pergi dulu dan pemergian mereka buat saya lebih berhati-hati serta insaf. Saya mahu kekal sihat dan bertenaga untuk anak-anak,” katanya
.Bekas peserta Gegar Vaganza musim kelapan ini turut menambah, usia bukan alasan untuk mengabaikan penampilan kerana bagi dirinya, ia mencerminkan tahap disiplin dan kesejahteraan mental seseorang.
“Sebahagian keyakinan diri datang daripada kesihatan mental yang baik. Apabila meningkat usia, menjaga penampilan jadi keutamaan saya. Ia bukan soal nak nampak muda, tapi nak rasa sihat dan yakin,” jelasnya.
Sebagai usahawan dan bapa kepada empat anak, Fazley menolak pandangan lapuk yang menganggap penjagaan diri hanya untuk wanita.
Katanya, penampilan yang baik mencerminkan kebersihan dan keyakinan seseorang, tidak kira lelaki atau wanita.
“Persepsi bahawa penjagaan diri hanya untuk wanita tu pandangan kolot. Masih ada di media sosial yang kecam lelaki buat rawatan wajah atau facial, seolah-olah itu salah dan hanya untuk golongan perempuan.
“Tapi bagi saya, semua orang patut jaga diri, dari rambut sampai ke bau stoking. Zaman sekarang orang mudah menilai. Jadi penampilan dan kebersihan diri itu penting. Bila diri sihat, kita lebih yakin dan tenang,” ujarnya lagi.
Fazley ditemui di majlis pelancaran kempen BMF x Svenson ‘Still Me With More’ di Intermark Mall, Kuala Lumpur, pada Khamis.
Acara itu turut menampilkan perbincangan eksklusif bersama Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor dari Universiti Malaya yang turut menampilkan pelakon, Ezzanie Jasny.
Sesi berkenaan lebih terarah kepada diskusi mengenai keseimbangan mental dan fizikal dalam kehidupan moden.
Dalam majlis sama, Puan Kim yang juga wakil BMF The Aesthetics People menegaskan, kecantikan sebenar bermula daripada kesejahteraan dalaman.
“Kesihatan mental amat penting kerana tanpa keyakinan dari dalam, sukar untuk kita melihat nilai diri sendiri.
“Walaupun kami berada dalam industri kecantikan dan kesejahteraan, tiada rawatan wajah yang dapat menggantikan keyakinan yang datang dari hati,” katanya.
Sebagai Duta Svenson, Fazley turut berkongsi rutin keseimbangannya melalui sukan Muay Thai, muzik dan
8-in-1 Stress Relief Therapy Svenson, sambil tidak menafikan menjaga kesihatan mental bukan tanda kelemahan, sebaliknya satu perjalanan untuk mencapai keseimbangan diri.Kempen Still Me With More itu sendiri merupakan inisiatif BMF dan Svenson bagi mendefinisi semula konsep penjagaan diri dengan pendekatan holistik merangkumi fizikal, emosi dan mental.
Di mana para pelanggan digalakkan untuk Reset, Recharge, Recover melalui program 8 Minggu Self-Care Edit yang menyokong kesejahteraan menyeluruh.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini