
Nama pelakon dan pengarah, Liyana Jasmay kebelakangan ini menjadi perhatian berikutan penampilannya yang dikatakan semakin seksi oleh segelintir warganet.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Liyana menjelaskan tiada apa yang berubah dan cara pemakaiannya sama sahaja seperti dahulu.
“Pada saya tiada apa yang berubah. Sejak dahulu lagi cara pemakaian saya memang sudah seperti ini. Mungkin orang jarang melihat saya di tempat umum.
“Saya memang pakai sahaja seluar pendek dan skirt tapi saya jarang kongsikan di media sosial. Bila saya kongsikan, tiba-tiba jadi isu pula,” katanya kepada MH.
Liyana berkata demikian ketika ditemui di acara Viu Royal Night yang berlangsung di W Factory Event Space, Shah Alam, pada Khamis.
Pelakon filem Castello itu bagaimanapun menyambut baik nasihat serta komen-komen netizen mengenai cara pemakaiannya.
“Pada saya, orang berhak untuk memberikan komen. Malah, ada juga yang berikan komen baik dan bersifat nasihat.
“Memang betul pun apa yang mereka kata. Kita memang tak boleh berpakaian seksi.
“Saya tak pernah melatah atau minta mereka jangan ganggu saya. Apa sahaja nasihat yang mereka berikan, saya terima. Saya tahu saya bukanlah orang yang baik,” kongsinya lagi.
Sementara itu, drama terbaharu arahan Liyana berjudul Putri & Phrince kini sedang ditayangkan di platform OTT, Viu.
Siri ini mengangkat kisah zaman persekolahan dengan menampilkan barisan pelakon seperti Nesa Idrus, Badron Munirah, Fara Nadiah, Nik Rifaie dan Farihin Arnia.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini