Categories: Hiburan

“Saya Masuk Hospital, Oksigen Hanya Tinggal 31%,” – Lama Menyepi, Amir Hasan Sebenarnya Hidap Gastrik & Asma Teruk

Share

Lama menyepi daripada radar industri seni tanah air, penyanyi Amir Hasan akhirnya mendedahkan dia sebenarnya berdepan dengan beberapa masalah kesihatan sejak setahun lalu.

Menurut Amir, berat badannya juga turun secara mendadak berpunca daripada masalah gerd dan gastrik yang teruk.

“Saya mengalami gerd dan gastrik yang agak teruk sejak tahun lepas. Saya kini sudah kurang makan.

“Jika sepinggan makanan, saya hanya makan 30 peratus sahaja. Saya tak boleh makan berlebihan.

“Saya akan mula makan pada waktu Subuh. Jika orang lain ada waktu makan yang tetap seperti sarapan, makan tengah hari dan makan malam, saya pula perlu bahagikan waktunya ikut keperluan badan

“Saya makan sikit tapi dalam kadar yang kerap,” katanya kepada MH.

Penyanyi lagu Gadis Yang Ku Tunggu itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran Restoran Pizzaiolo di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Selain itu, Amir turut memaklumkan, kadar oksigen dalam badannya pernah menurun secara drastik akibat gaya hidup tidak sihat.

“Perkara yang paling merisaukan saya adalah tahap oksigen di dalam badan. Saya selalu stress ketika bekerja ditambah pula kuat merokok dan vape. Saya juga ada penyakit asma.

“Saya terpaksa ditahan di hospital kerana kadar oksigen di dalam badan hanya ada 31 peratus.

“Selepas dipantau, saya perlu ambil steriod untuk kuatkan paru-paru.

“Alhamdulillah, keadaan saya sekarang belum pulih sepenuhnya tapi tahap oksigen sudah meningkat ke 60 peratus. Saya tak boleh terlalu kuat bekerja dan stress,” ujarnya lagi.

Berehat Daripada Nyanyian

Jelas Amir lagi, situasi tersebut membuatkan dia terpaksa berehat seketika daripada dunia nyanyian buat sementara waktu.

“Ini juga antara sebab saya sudah lama tidak menyanyi. Saya tak boleh nak buat persembahan disebabkan masalah pernafasan. Saya akan mudah pengsan dan cepat penat.

“Jika alat asma tu pun saya perlu guna yang warna coklat kerana ada steroid. Saya masih minat menyanyi tapi kini dalam proses pemulihan.

“Saya agak sedih sebenarnya kerana menyanyi adalah minat saya tapi saya masih boleh menulis lagu,” kongsinya lagi.

Selain menguruskan bahagian pemasaran Restoran Pizzaiolo, Amir kini sibuk mengembangkan bisnes produk prebiotik.

Untuk makluman, Restoran Pizzaiolo dibuka setiap hari bermula jam 11 pagi hingga 3 pagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

Kredit Foto: Instagram Amir Hasan

Published by
Aizam Manaf