
Isteri kepada bintang bola sepak Selangor FC, Faisal Halim iaitu Nur Syazwani Mizuana Shahril akhirnya tampil bersuara susulan keputusannya untuk memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pada Selasa.
Menerusi hantaran di Instagram Stories, Syazwani menegaskan keputusannya itu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya telah mengambil kira segala pengalaman sepanjang enam tahun mendirikan rumah tangga.
“Tindakan saya hari ini berdasarkan apa yang saya lalui dan kehidupan saya sendiri. Saya yang lebih tahu kehidupan saya.
“Saya telah berkorban seluruh jiwa saya untuk keluarga saya, dari susah sehingga berjaya, dari tidak dikenali kepada seorang yg dipuja, dari sakit sehingga sihat dan kembali ke tahap terbaik,” tulisnya.
Pada masa sama, Syazwani turut mendedahkan, ini bukan kali pertama dia berdepan dengan isu perceraian.
“Bukan mudah untuk saya. Malah ini bukan kali pertama, saya pernah diceraikan sebelum ini.
“Saya cuba pertahankan tapi terlalu banyak campur tangan dan onak dalam kehidupan saya.
“Tindakan saya hari ini bukan satu keputusan yang senang dibuat. Saya telah berusaha namun mungkin ini jalan yang terbaik,” kongsinya lagi.
Dalam perkongsian lanjut, Syazwani turut mendakwa, dia diminta untuk kembali ke pangkuan keluarga.
“Ibu saya disuruh untuk mengambil saya. Saya telah dipulangkan kepada ibu saya. Walaupun berat hati, saya ikutkan kehendak dia,” katanya lagi.
Petang tadi, nama Faisal menjadi perhatian ramai selepas tular berita tentang perceraian bersama Syazwani.
Difahamkan, pasangan itu perlu melalui prosiding sebutan pertama mengikut jadual kes harian yang tertera di papan info Mahkamah Rendah Syariah Klang.
Prosiding tersebut berlangsung pada jam 2.30 petang dan dibicarakan di hadapan Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim.
Untuk rekod, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019.
Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Khalish Aryan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara.
Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini