
Nama pelakon Zarynn Min menjadi perhatian apabila wajahnya dikatakan terlalu kerap muncul dalam pelbagai drama sehingga dilabel ‘bersepah’ di kaca televisyen.
Bagaimanapun, Zarynn menjelaskan, penglibatannya dalam sesebuah drama adakalanya berlaku tanpa dirancang.
Menurutnya, ada situasi tertentu yang memerlukan dia membantu pihak produksi pada saat-saat akhir, khususnya apabila pelakon tambahan gagal menjayakan sesuatu babak dengan baik.
“Dalam isu ini, ada juga yang mempertahankan saya. Saya kerap dipilih oleh pihak produksi mungkin disebabkan faktor disiplin dan kualiti lakonan saya. Sejak dahulu lagi, saya memang tiada kontroversi.
“Saya hanya tahu bekerja sahaja. Saya sebenarnya selalu menjadi penyelamat pihak produksi. Ada kalanya, saya tidak terlibat di dalam sesebuah projek drama.
“Bila mereka menggunakan pelakon tambahan, ada diantara mereka yang gagal untuk membawakan watak yang diberikan. Jadi, mereka terpaksa meminta bantuan saya tetapi dengan bayaran yang betul.
“Secara tidak langsung saya terlibat di dalam drama itu untuk menyelamatkan pihak produksi daripada pelakon-pelakon kayu,” katanya kepada MH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media dan tayangan perdana filem Amira Amir, baru-baru ini.
Mengulas mengenai label ‘bersepah’ yang diberikan kepadanya, Zarynn menegaskan dia tidak mengambil komen tersebut secara negatif.
Katanya, bidang lakonan sudah sebati dalam hidupnya sejak kecil dan menjadi minat serta jiwanya.
“Secara peribadi, saya tidak tersinggung. Perkataan bersepah itu hanyalah ‘slang’. Ada kalanya drama-drama lakonan saya sejak beberapa tahun yang lepas ditayangkan semula.
“Sebab itu penonton selalu nampak wajah saya. Lagipun, saya tak pernah buat hal. Wajah saya kerap muncul di kaca tv tapi orang tak kenal nama saya.
“Saya tak kisah pun kerana lakonan ini memang minat dan jiwa saya,” ujarnya lagi.
Walaupun begitu, Zarynn tidak menafikan wujud rasa bimbang sekiranya persepsi tersebut memberi kesan terhadap penilaian pihak stesen televisyen pada masa akan datang.
“Bila ada yang kata wajah saya ‘bersepah’ dan kerap muncul di dalam drama, saya sebenarnya agak risau juga. Saya risau jika wajah saya ini sudah ‘overused’.
“Hal ini juga akan memberikan kesan kepada pihak stesen tv. Selapas ini, jika pihak produksi nak mencadangkan nama saya, mungkin mereka akan menolak dengan alasan penonton sudah jemu.
“Saya berharap dan berdoa agar hal seperti itu tidak terjadi,” akhirinya.
Zarynn merupakan antara pelakon yang membintangi filem terbaharu, Amira Amir bersama barisan pelakon seperti Zahiril Adzim, Sophia Albarakbah dan Feroz Khan.
Filem tersebut bakal ditayangkan menerusi saluran Astro First bermula 26 Februari ini.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini