Categories: Berita Hiburan

“Saya Jadi Anxiety,” – Selepas Pungky Kematian Ibu, Bapa Diana Pula Meninggal Dunia… Berat Ujian Mendua Di GV12

Share

Selepas Pungky kehilangan ibu tercinta beberapa minggu lalu, kumpulan Mendua sekali lagi diuji apabila bapa kepada seorang lagi anggotanya, Diana pula meninggal dunia pada Khamis.

Pada konsert Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) yang berlangsung semalam, Mendua sekali lagi terpaksa membuat persembahan tanpa anggota lengkap berikutan ketiadaan Diana yang kini perlu berada di samping keluarga.

Menurut Sasha, situasi yang berlaku sememangnya amat berat untuk diterima kerana ia terjadi dalam jangka masa yang sangat singkat.

Perlu Terus Kuat Di Pentas

“Malam ini, kami berdua lagi seperti dua minggu yang lalu. Kini, saya pula perlu berganti pasangan. Saya sebenarnya sangat sedih. Perasaan saya sangat bingung.

“Nak menangis juga tiada waktu. Ini adalah hal yang kami sendiri tidak jangka akan berlaku. Saya jadi teringat semula apa yang berlaku dua minggu lalu.

“Pada waktu itu, pertanyaan daripada pihak media sama seperti hari ini. Jika, sebelum ini soalan itu ditujukan buat Pungky, hari ini, Diana pula.

“Saya rasa seperti anxiety. Saya berdoa kepada Tuhan, kita terima apa yang berlaku tapi cukuplah ujian ini. Yang pergi ini adalah ibu bapa dan bukan sekadar orang terdekat,” katanya kepada MH.

Kumpulan asal Indonesia itu berkata sedemikian ketika ditemui selepas berakhir konsert minggu ke-5 GV12 yang di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

Dalam masa sama, Pungky akui hal ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi dan mentalnya.

“Segalanya berlaku terlalu cepat dan hanya berselang dua minggu. Saya sendiri belum pulih sepenuhnya daripada perasaan kehilangan orang yang amat saya cintai.

“Tiba-tiba saya harus mendengar khabar seperti ini lagi daripada sahabat kami pula. Dia pula harus mengharungi kehilangan. Ini sangat susah dan berat buat kami,” katanya.

 

Persembahan Tetap Cemerlang

Meskipun tanpa kelibat Diana, Mendua tetap berjaya menampilkan persembahan terbaik sekali gus meneruskan momentum cemerlang untuk berada di kedudukan dua terbaik.

Jelas Sasha, meraih markah yang baik dan pujian daripada pihak juri sedikit sebanyak mengubati kesedihan mereka.

“Saya merasakan sudah menjadi tugas saya untuk saling menguatkan rakan-rakan yang sedang bersedih. Kami tidak boleh mundur dan harus maju meneruskan persembahan.

“Bila dapat markah yang baik, itu sedikit sebanyak dapat menghiburkan hati kami. Dua minggu lalu, saya berkata kepada Diana, tanpa Pungky, kita tetap boleh melakukannya. Alhamdulillah, kami dapat antara markah tertinggi.

“Sekarang, saya pula harus bercakap perkara sama kepada Pungky. Saya bagitahu, kita okay dan segalanya pasti akan baik-baik sahaja,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Sasha juga percaya setiap ujian yang berlaku ini pasti ada hikmahnya.

“Semoga kami dapat menjadi contoh walau apapun yang berlaku, kita tetap harus bangkit.

“Kehilangan itu bukanlah sesuatu yang kita boleh halang tapi bagaimana cara kita menerima dan mensyukuri apa yang masih ada itu lebih penting.

“Semoga ada sesuatu yang indah sedang dipersiapkan buat kami. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya,” akhirinya.

Malam tadi, Mendua menduduki tempat kedua dengan markah sebanyak 67.25% di belakang Iskandar Ismail dengan 74.50%.

Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
Aizam Manaf