Berita

“Saya Ingat Tok Ram Nak Ke Tandas,” – Iskandar Ismail Rasa Nak Nangis Dapat 3 Standing Ovation, Pasang Impian Jadi Juara GV12

Share

Penyanyi Singapura, Iskandar Ismail, tidak menyangka persembahannya menerusi lagu Iris dan Despacito pada konsert separuh akhir Gegar Vaganza 12 (GV12) menerima ‘standing ovation’ daripada ketiga-tiga juri, termasuk maestro muzik Datuk Ramli MS.

Menurut Iskandar, detik tersebut benar-benar menyentuh perasaannya, apatah lagi apabila pujian itu datang daripada barisan figura yang amat dikaguminya.

“Sebenarnya saya memang tak sangka. Bila saya nampak Tok Ram berdiri, saya ingatkan dia ingin keluar ke tandas. Bila dia kekal berdiri di posisinya itu lalu tepuk tangan dan diikuti dua juri yang lain, saya rasa seperti nak menangis.

“Saya terharu bila pengiktirafan itu diberikan daripada ketiga-tiga juri yang amat saya hormati,” katanya, pada malam Ahad.

Persiapan Intensif Berbaloi

Walaupun berdepan tugasan mencabar, Iskandar merasakan segala persiapan dan latihan intensif yang dilaluinya sepanjang minggu tersebut nyata berbaloi.

“Alhamdulillah, saya rasa persiapan saya pada minggu ini sangat berbaloi. Tugasan ini sangat susah. Semput saya nak menyanyi. Selain menyanyi, saya kena berjoget pula.

“Bahagian rap pula agak panjang. Saya terpaksa curi nafas sikit-sikit. Saya pernah menyanyikan lagu ini tapi ia sudah agak lama.

“Saya buat homework mengenai lagu ini sehingga saya tak dapat nak luangkan masa bersama keluarga. Walaupun isteri ikut saya ke Kuala Lumpur, tapi fokus saya untuk hafal dan bawakan lagu ini dengan baik,” kongsinya lagi.

Impian Juara GV12 & Perancangan Masa Depan

Dalam masa sama, Iskandar tidak menafikan impiannya untuk bergelar juara GV12, namun tetap berwaspada dengan persaingan sengit daripada finalis lain.

“Insya-Allah, memang itulah yang saya impikan namun, persaingan saya sangat sengit. Pada saya, Nubhan, Mendua dan Mark Adam mempunyai kualiti yang sangat unik.

“Mark Adam sentiasa ada elemen kejutan di setiap persembahan. Nubhan dan Mendua pula mereka punyai kekuatan dari segi vokal.

“Jadi, saya harus menjaga kesihatan dan stamina. Saya akan jogging dan berenang. Dalam masa sama kena hafal lirik dan tarian,” katanya lagi.

Sementara itu, Iskandar turut memaklumkan dirinya bersedia untuk terus kekal aktif dalam industri seni selepas tamat GV12.

“Jika ada peluang, saya akan berhijrah ke Kuala Lumpur. Namun, biarlah langkah itu perlahan-lahan dahulu.

“Saya sudah bersedia dengan beberapa buah projek dan ia memerlukan saya berulang alik dari Singapura dan Kuala Lumpur.

“Jika ada rezeki untuk saya bekerja terus di Kuala Lumpur ini, saya akan bawa keluarha saya sekali untuk pindah ke sini. Saya memang mahu tembusi pasaran di Malaysia ini,” akhirinya.

Persembahan luar biasa yang ditampilkan oleh Iskandar melayakkan dirinya berada di kedudukan pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 77.75 peratus.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
Aizam Manaf