Uncategorized

“Saya Harap Orang Ramai Suka Dan Sokong,” – Shiha Zikir Lancar Lagu Raya, Undang Peminat Jayakan Muzik Video

Share

Penyanyi Shiha Zikir sekali lagi memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini apabila tampil dengan lagu raya terbaharu berjudul Memori Raya.

Lagu tersebut merupakan hasil kolaborasi antara Shiha Zikir Empire dengan Giant Malaysia yang kembali berganding bahu selepas kejayaan kerjasama menerusi lagu Tum Tum Raya tahun lalu.

Menurut Shiha, lagu Memori Raya membawa elemen nostalgia yang mampu mengimbau kembali kenangan lama ketika menyambut lebaran.

Walaupun melodinya ceria dan catchy, lirik lagu tersebut sebenarnya mampu menyentuh emosi pendengar serta mengingatkan mereka kepada memori indah bersama keluarga.

“Lagu ini sebenarnya membawa pendengar kembali kepada kenangan lama ketika menyambut Hari Raya.

“Apabila saya memperdengarkan lagu ini kepada keluarga, ramai yang tersentuh walaupun melodinya rancak. Mungkin kerana liriknya membuatkan kita teringat kembali kenangan lama,” katanya.

Tambah Shiha, lagu tersebut dihasilkan bersama komposer Iqie Hugh dan John Jeeves yang berjaya menyiapkannya dalam tempoh singkat mengikut konsep yang diinginkan olehnya.

Jelasnya lagi, sebelum ini dia banyak menghasilkan lagu raya berentak tradisional dan joget, namun kali ini dia mahu tampil dengan sesuatu yang lebih segar serta moden.

Memori Raya berkisar tentang kenangan Aidilfitri yang sering dikaitkan dengan kampung halaman serta pertemuan dan masa-masa terluang bersama keluarga tersayang dalam persiapan menyambut Syawal.

Shiha turut berkongsi, idea menghasilkan lagu ini tercetus secara spontan ketika bulan Ramadan dan keseluruhan proses penghasilannya dilakukan dalam tempoh yang agak singkat.

“Walaupun keputusan untuk menghasilkan lagu ini dibuat dalam masa yang singkat, saya tetap mahu memastikan semuanya berjalan lancar.

“Selain untuk diri saya sendiri, saya juga gembira dapat bekerjasama dengan Giant Malaysia dalam menjayakan projek ini,” katanya lagi.

Berkongsi kisah menarik sepanjang penggambaran video muzik Memori Raya, Shiha berkata dia turut mengajak beberapa individu yang tidak dikenali melalui media sosial untuk menyertai penggambaran tersebut.

“Saya memilih beberapa orang yang saya tidak kenal melalui media sosial untuk datang dan merasai sendiri pengalaman berada di set penggambaran video muzik.

“Saya juga mahu berkenalan dengan orang baharu. Apa yang menggembirakan, mereka semua sangat teruja sepanjang penggambaran walaupun penggambaran mengambil masa yang agak panjang,” ujarnya.

Menurut Shiha, pengalaman tersebut sangat bermakna kerana mereka sama-sama mencipta kenangan baharu yang selari dengan konsep lagu tersebut iaitu Memori Raya.

“Saya harap orang ramai suka dan mahu menyokong lagu Memori Raya serta lagu raya lain yang turut dikeluarkan oleh artis tempatan tahun ini.

“Semoga lagu ini dapat menjadi antara lagu pilihan sepanjang musim perayaan. Jangan lupa juga untuk menonton video muzik serta menyertai challenge yang akan saya kongsikan di media sosial,” katanya.

Kempen Raya Istimewa

Sementara itu, pihak Giant Malaysia menyifatkan kerjasama bersama Shiha Zikir sebagai satu kolaborasi yang sangat bermakna selepas kejayaan yang diraih tahun lalu.

Menurut Encik Andre Lim selaku Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Shiha bukan sahaja seorang selebriti, malah memiliki personaliti ceria dan bertenaga yang sangat dekat dengan masyarakat daripada pelbagai lapisan, selari dengan profil pelanggan Giant.

“Kerjasama kami dengan Shiha Zikir dan Shiha Zikir Empire tahun lalu membuahkan hasil yang sangat memberangsangkan.

“Shiha mempunyai personaliti yang ceria dan dekat dengan masyarakat, dan bagi kami konsistensi adalah kunci dalam membina kepercayaan jenama,” katanya.

Makah pihaknya juga berharap lagu Memori Raya dapat menjadi antara lagu tema Aidilfitri yang dekat di hati rakyat Malaysia tahun ini.

Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Giant Malaysia turut memperkenalkan kempen utama bertemakan

“Jimat Berganda, Raya Bergaya” yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik kepada pelanggan.

Melalui peraduan “Beli & Menang” yang berlangsung dari 26 Februari hingga 15 April 2026, pelanggan yang berbelanja minimum RM60 dalam satu resit di mana-mana cawangan Giant berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk bar emas.

Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH