Berita

“Saya Doakan Moga Mereka…,” – Aliff Aziz Tumpang Gembira Ikatan Pertunangan Bella Astillah & Syed Saddiq, Anak-Anak Sentiasa Di Dalam Doa

Share

Pelakon dan penyanyi, Aliff Aziz, mengakui turut berasa gembira atas pertunangan bekas isterinya, Bella Astillah, bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurut Aliff, dia sentiasa mendoakan agar hubungan pasangan tersebut dipermudah dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

“Alhamdulillah, saya juga tumpang gembira bila melihat mereka bahagia. Saya doakan semoga mereka kekal bahagia dan hubungqn berkekalan sehingga ke anak cucu,” katanya kepada MH.

Aliff berkata demikian ketika ditemui di majlis rumah terbuka anjuran platform penstriman, iQIYI di Andaman Grand Ballroom, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam masa sama, penyanyi lagu Sayang Sayang itu memaklumkan dia ada menonton klip-klip majlis pertunangan tersebut yang dikongsikan orang ramai, dan turut berasa gembira melihat anak-anaknya tersenyum.

“Saya tak perlu mencari pun tapi ramai orang yang hantar klip-klip itu kepada saya dan saya ada menontonnya juga. Sejujurnya saya mendoakan yang terbaik.

“Ini jujur daripada saya. Saya bukan sahaja bercakap. Saya betul-betul rasa gembira buat mereka.

“Bila lihat anak-anak juga gembira, saya pun ikut gembira. Buat anak-anak saya, mereka sentiasa ada dalam doa saya,” ujarnya lagi.

Fokus Bangkit Semula & Serah Soal Jodoh

Ditanya mengenai soal pasangan hidup, Aliff memilih untuk menyerahkan sepenuhnya urusan jodoh kepada Allah SWT sambil memberi fokus kepada memperbaiki diri.

“Buat masa sekarang, saya serahkan segalanya kepada Allah SWT. Ini bukan klise. Ada banyak lagi perkara yang perlu saya perbaiki dan usahakan.

“Mungkin selepas ini saya nak badan saya jadi lebih fit. Nak fokus dunia lakonan juga. Saya kini nak bangkit semula secara perlahan-lahan.

“Sekiranya waktu itu sampai, itu di luar pengetahuan saya,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Aliff turut berharap agar orang ramai terus mendoakan yang terbaik buat dirinya.

“Saya juga mengharapkan anda semua juga dapat mendoakan yang terbaik juga buat saya.

“Sama ada yang suka atau tak suka dengan saya, saya tetap ingin berterima kasih. Doakan semoga ada kebaikkan yang akan Allah kurniakan kepada saya.

“Semoga saya dapat berubah dan menemui cara hidup yang lebih baik. Saya hanyalah insan biasa yang bergiat sebagai anak seni.

“Saya bukan malaikat atau nabi. Saya bukan nak berdakwah. Tapi inilah perkara yang saya percaya membuatkan diri saya berasa tenang dan mahu bangkit setiap hari untuk jadi lebih baik,” akhirinya.

Latar Belakang Hubungan

Untuk rekod, Aliff Aziz dan Bella Astillah pernah mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016. Mereka kemudian bercerai pada 16 Mei 2019 sebelum kembali rujuk, namun berpisah kali kedua pada Mac 2024.

Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean dan Ara Adreanna.

Terdahulu, Bella Astillah dan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah melangsungkan majlis pertunangan pada 28 Mac lalu.

Published by
Aizam Manaf