Berita

“Saya Doakan Allah Berikan Mereka Hidayah…,” – Dilabel Sundal & Bodoh, Amira Othman Lali Hadap Kecaman! Anggap Lumrah Jadi Anak Seni

Share

Penyanyi dan pelakon, Amira Othman akui walaupun sering menjadi sasaran kecaman di media sosial, namun dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan komen negatif yang dilemparkan oleh segelintir netizen.

Menurut Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, situasi tersebut dianggap sebagai perkara biasa bagi seseorang yang bergelar anak seni.

Malah, dia sedar tidak semua orang akan menyukai dirinya.

Anggap Lumrah Anak Seni

“Saya memang tak ambil tahu tentang apa yang berlaku di Threads. Pada saya platform itu agak toksik. Namun, peminat-peminat ada juga berkongsi bila ada sebarang isu berkaitan diri saya.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya pun tak pasti mengapa mereka berbuat sedemikian. Pada saya, inilah lumrah bergelar anak seni.

“Sudah tentu ada orang yang suka dan tak suka kita. Orang yang tak suka itu, pusinglah macam mana sekali pun, dia tetap tidak suka,” katanya kepada MH.

Isteri kepada pelakon, Fattah Amin itu berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media lagu ‘Bincang Raya’ di Crowne Plaza Kuala Lumpur City Centre pada Isnin.

Menurut Amira lagi, dia senang untuk tidak memberi perhatian kepada perkara negatif kerana tidak mahu ia menjejaskan kesihatan mentalnya.

“Jadi, saya tak nak berikan perhatian kepada perkara negatif. Ia hanya akan meletihkan diri saya. Ada banyak lagi hal lain yang saya nak buat.

“Yang sokong kita ialah orang-orang yang suka kita. Saya tak boleh nak paksa orang lain suka kita. Saya doakan Allah berikan mereka hidayah dan tidak lagi bercakap hal-hal yang tidak baik.

“Bila selalu bercakap hal tak baik, kita pun takut sebab kita ada keturunan. Pada saya, buli siner ini sudah agak melampau. Tak semestinya saya diam, mereka boleh membuli saya,” kongsinya lagi.

Respon Ketika ‘Live’ Sekadar Gurauan

Mengulas mengenai insiden ketika dia menegur individu yang mengecamnya sewaktu sesi siaran langsung baru-baru ini, Amira menjelaskan bahawa reaksinya ketika itu hanyalah gurauan spontan.

“Sebenarnya, saya hanya bergurau sahaja. Lagipun, sudah banyak kali saya bergurau seperti itu sebelum ini. Saya tak pasti kenapa kali ini jadi isu pula.

“Ini bukan kali pertama mereka menyerang saya ketika sesi siaran langsung. Ada yang kata saya sundal, bodoh dan macam-macam lagi. Kita nak sebut pun tak tergamak.

“Mungkin yang marah dengan gurauan saya itu sebenarnya yang bercakap tentang saya. Mereka bebas bercakap tentang kita. Namun, bila kita pertahankan diri, mereka marah pula,” ujarnya lagi.

Dalam masa sama, Amira turut menegaskan bahawa walaupun dirinya seorang selebriti, dia tetap mempunyai hati dan perasaan seperti manusia lain.

Sehubungan itu, penyanyi lagu Rasa & Takdir itu berharap agar orang ramai lebih berhati-hati dalam memberikan komen, terutama di media sosial.

“Bukanlah nak kata terkilan tapi rasanya agak susah nak jadi diri saya. Ada kalanya mereka membaca headline atau tengok potongan video sahaja.

“Namun, saya tak boleh nak kawal segala hal. Selagi saya berada di dalam industri, inilah perkara yang saya perlu akur.

“Berhati-hatilah dalam berkata-kata. Kita bukannya tiada undang-undang. Berhati-hatilah dan jangan berlebihan. Saya tak kisah dengan terguran. Tegurlah secara baik-baik,” akhirinya.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
Aizam Manaf